Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pihak berkuasa tempatan serta polis di negeri itu supaya lebih tegas semasa menjalankan pemantauan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah hari ini, Sultan Sharafuddin kecewa kerana masih terdapat segelintir pihak, khususnya pengendali premis hiburan dan makanan, tidak mengambil serius, lalai dan ingkar dalam mematuhi arahan PKPB.
Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin juga khuatir sekiranya rakyat terus berdegil dari segi pematuhan prosedur operasi standard PKPB, penularan pandemik Covid-19 akan sukar dibanteras sepenuhnya.
Semalam, Selangor mencatat kes harian baharu Covid-19 yang tinggi iaitu sebanyak 225 kes.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada dua petugas Hospital Sungai Buloh iaitu Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Dr C. Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi Dr Shaiful Azman Zakaria yang menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global 2020, baru-baru ini.
“Baginda amat berbangga dengan pencapaian cemerlang petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh khususnya, dan di Selangor amnya, kerana menunjukkan dedikasi serta komitmen yang tinggi dalam usaha menghapuskan pandemik Covid-19.
“Baginda juga berharap petugas barisan hadapan terus tabah dan cekal semasa menjalankan tugas masing-masing dalam merawat pesakit Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu.