- Iklan -
Berita

Belanjawan 2021 bakal lanjut kontrak doktor pelatih untuk perangi Covid-19

Perang melawan Covid-19 akan 'melemah' sekiranya tenaga kerja petugas barisan hadapan tidak mencukupi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Kes Covid-19 dunia sudah melepasi angka 50 juta.
Kes Covid-19 dunia sudah melepasi angka 50 juta.

Putrajaya dijangka melanjutkan kontrak pegawai perubatan pelatih dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat bagi sesuatu tempoh yang lebih “melegakan”, dalam usaha mengukuhkan petugas barisan hadapan bagi memerangi Covid-19, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Sumber itu berkata, cadangan tersebut dipertimbangkan selepas kementerian kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat keperluan menambah tenaga kerja petugas barisan hadapan di tengah-tengah penularan jangkitan Covid-19 sehingga vaksin wabak itu berjaya dihasilkan.

“Petugas perubatan yang senior terpaksa dipinjamkan ke lokasi panas Covid-19 dan pegawai perubatan junior boleh menyokong sumber tenaga kerja di wad-wad pesakit yang lain seperti biasa,” kata sumber yang juga pegawai kanan KKM kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

“Khususnya wad yang merawat penyakit tidak berjangkit tetapi mempunyai bilangan pesakit kronik yang ramai. Misalnya barah, penyakit buah pinggang dan kencing manis. Mereka ini juga perlukan rawatan rapi seperti pesakit menghidap penyakit berjangkit.”

Katanya dengan cara ini KKM boleh mengguna pakai khidmat pegawai perubatan terlatih tanpa perlu mengimport pakar dari luar bagi menggantikan pakar yang bertungkus lumus merawat pesakit di wad Covid-19.

Bagaimanapun katanya, jumlah tepat untuk peruntukan tersebut hanya boleh diketahui sewaktu pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz nanti.

Katanya, perang melawan wabak luar biasa itu akan “melemah” sekiranya tenaga kerja petugas barisan hadapan tidak mencukupi dan pelaburan yang sepatutnya tidak diberikan kepada KKM.

Tahun lalu untuk Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30.6 bilion berbanding RM28.7 bilion pada tahun sebelumnya dan tahun ini sektor kesihatan dijangkakan akan mendapat peruntukan lebih besar disebabkan pandemik Covid-19 yang masih berleluasa.

Semalam, terdapat 834 kes baru jangkitan Covid-19, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 33,339.

Sebanyak 900 pesakit dilaporkan sembuh sepenuhnya hari ini menjadikan angka keseluruhan mereka yang pulih berjumlah 23,120 kes atau 69.3%.

Katanya dengan cara ini KKM boleh mengguna pakai khidmat pegawai perubatan terlatih tanpa perlu mengimport pakar dari luar bagi menggantikan pakar yang bertungkus lumus merawat pesakit di wad Covid-19.

Sementara terdapat dua kes maut menjadikan jumlah kematian terkumpul sebanyak 251 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya berharap mendapat peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan 2021 untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Beliau juga dilaporkan merancang untuk menubuhkan hospital penyakit berjangkit dengan peruntukan yang akan diberikan kepada kementerian itu.

Menurut Noor Hisham, KKM juga mempunyai perancangan untuk menambah latihan untuk pakar kesihatan di lapangan dan perubatan di hospital.

“Jadi kami memang memerlukan penambahan peruntukan untuk meningkatkan lagi aktiviti dan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Pada September, kerajaan mengumumkan kontrak secara “one-off” bagi 2,070 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi disambung selama enam bulan lagi.

Pengumuman itu juga melibatkan 79 pegawai perubatan yang sudah selesai khidmat wajib di luar negara, 852 pegawai pergigian dan kira-kira 1,139 pegawai farmasi yang menamatkan latihan atau khidmat wajib dengan peruntukan sebanyak RM81 juta.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.