- Iklan -
Berita

Daftar pemilih automatik pada Julai tahun depan, kata menteri

Turut dilaksanakan usia kelayakan mengundi 18 tahun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
SPR kini dalam proses bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Gambar: Bernama
SPR kini dalam proses bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Gambar: Bernama

Pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini dalam proses melakukan beberapa persiapan untuk pelaksanaan perkara itu termasuk bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“SPR sedang bekerjasama dengan JPN melalui jawatankuasa ‘task force’ SPR dan JPN dalam persiapan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan urusan lain yang berkaitan dan menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai tahun lalu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) bila kerajaan akan melaksanakan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Menjelas lanjut, beliau berkata SPR juga sedang menyediakan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dan sistem serta infrastruktur bagi tujuan itu.

“Bagi maksud membantu SPR dalam menyediakan SOP pelaksanaan ini, SPR telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama beberapa jabatan dan agensi kerajaan, parti politik daripada blok pembangkang dan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta parti politik negeri Sarawak dan Sabah,” katanya.

Takiyuddin berkata melalui penganjuran sesi itu, SPR telah memberi penerangan mengenai perancangan pelaksanaan pindaan undang-undang yang telah diluluskan serta mendapatkan maklum balas dan pandangan semua pihak.