Warisan menghargai cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan supaya semua pihak memberi laluan kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dijadual 5 Disember ini.
Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata cadangan yang dibuat oleh Mohamad jelas menunjukkan keprihatinannya terhadap pandemik Covid-19 yang teruk melanda Sabah.
Sementara itu, beliau tidak mengesahkan sama ada Warisan akan bertanding mempertahankan kerusi tersebut.
Beliau berkata tiada salahnya bagi semua pihak termasuk parti politik bekerjasama menangani Covid-19 yang melanda negeri ini kerana apa yang penting masa ini adalah menjaga kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik itu.
“Tidak salah sekiranya semua kita semua termasuk calon bebas bersolidariti di PRK Batu Sapi agar kita dapat menumpukan soal kebajikan rakyat serta ekonomi negeri yang terjejas akibat daripada wabak ini.
“Lagipun kita cuma perlu tunggu selama dua tahun lagi untuk PRU diadakan dan adalah lebih baik sekiranya masa sekarang ini digunakan sebaiknya demi kebaikan rakyat Sabah,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh PRK Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya, Liew Vui Keong daripada Warisan pada 2 Oktober lepas.
SPR juga menetapkan 23 November sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal.
Pada Ahad lepas, Mohamad dilaporkan sebagai berkata PRK Parlimen Batu Sapi tidak perlu diadakan sekiranya semua parti mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada Warisan menyandang semula kerusi itu.
Loretto berkata umum mengetahui tentang pelbagai cabaran dihadapi petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19 dan semua pihak perlu juga melihat faktor ini sekiranya mahu bertanding pada PRK Parlimen Batu Sapi.
“Nasib dan kebajikan barisan hadapan kita dalam usaha mereka menangani masalah Covid-19 di negeri ini harus kita utamakan dan cadangan Tok Mat (Mohamad) agar Umno memberi laluan kepada Warisan di Batu Sapi ini amat dihargai,” katanya.
Sementara itu, beliau tidak mengesahkan sama ada Warisan akan bertanding mempertahankan kerusi tersebut.