- Iklan -
Berita

Jatuh dan berjaya, bangun semula gara-gara pandemik Covid-19

Mohd Saddam Irrban berusaha melakukan yang terbaik kesan daripada Covid-19 terhadap perniagaannya.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penghantar upahan dilantik oleh Omma Foody akan membeli barangan di pasar borong pada awal pagi, kemudian dihantar ke pejabat untuk proses cuci dan pembungkusan semula.
Penghantar upahan dilantik oleh Omma Foody akan membeli barangan di pasar borong pada awal pagi, kemudian dihantar ke pejabat untuk proses cuci dan pembungkusan semula.

Mohd Saddam Irrban antara usahawan yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19 dalam dunia perniagaan.

Sebelum wabak Covid-19 menular, Saddam merupakan usahawan yang berjaya dalam agensi pelancongan, antara industri terpaksa ditutup daripada beroperasi selepas satu dunia melarang sebarang aktiviti pelancongan sebagai usaha menyekat penularan wabak itu.

Apabila perniagaannya terpaksa dihentikan, Saddam tidak menunggu lama dan mula memikirkan jalan terbaik untuk mendapat pendapatan melalui perniagaan dalam talian yang dilihat menjadi pilihan utama pengguna untuk membeli-belah ketika ini.

Tetapi memandangkan perniagaan dalam talian wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan membuatkan usahawan berusia 29 tahun ini cuba menjawab persoalan orang ramai perniagaan jenis apakah yang mampu menjadi pilihan di saat semua orang hidup dalam ketakutan akibat Covid-19?

Memandangkan sentuhan fizikal merupakan sesuatu yang ditakuti ketika ini, Saddam berjaya menggunakan kesempatan itu bagi mendapatkan perhatian orang ramai mengenai perniagaan yang dijalankannya.

Berdasarkan pemerhatiannya, orang ramai berdepan dengan kesukaran untuk membeli bahan makanan keperluan harian ditambah dengan langkah penjagaan dan peraturan yang ketat seperti memakai topeng, daftar sebelum masuk ke sesuatu kedai, semak bacaan suhu dan menggunakan “hand sanitizer”.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di seluruh dunia menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang semata-mata hanya untuk beli ayam dan ikan atau buah-buahan dan sayur-sayuran dan bukannya membeli iPhone dengan tawaran diskaun yang berbaloi.

“Selepas perintah kawalan pergerakan diumumkan pada Mac, kami menjadi buntu,” kata Saddam kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Beliau mengambil masa hampir sebulan untuk memikirkan perniagaan alternatif dengan menggunakan kakitangannya yang sama.

Dengan bermodalkan RM50,000, Saddam memulakan perkhidmatan Ommafoody: membeli barangan runcit untuk pengguna.

“Kami berurusan sendiri dengan penjual ikan dan ayam untuk menjadi pembekal kami.

“Kemudian kami akan keluar beli bahan makanan mengikut senarai seperti yang diminta oleh pelanggan.”

Tetapi perkhidmatan Saddam bukan sekadar penghantaran malah ia juga merangkumi proses membersihkan ayam dan ikan, sebelum bungkus semula dengan menggunakan mesin kedap udara sebelum dihantar kepada pelanggan.

“Selepas perintah kawalan pergerakan diumumkan pada Mac, kami menjadi buntu,” kata Saddam kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Kelebihan yang dimilikinya ketika menguruskan agensi pelancongan, Saddam mempunyai ramai staf perempuan manakala staf lelaki pula ditugaskan untuk mengambil stok makanan basah dan melakukan kerja-kerja berat.

Ciri tambahan inilah yang membezakan perkhidmatannya dengan pesaing yang lain.

Pengusaha Omma Foody Mohd Saddam Irrban.

Namun, disebabkan kelainan inilah membuatkan syarikat Saddam hanya boleh mengambil tempahan yang terhad iaitu tidak lebih daripada 60 tempahan sehari.

Untuk setiap pesanan, syarikatnya memperoleh sekitar RM20 dan dalam sebulan Ommafoody boleh mengaut keuntungan sekitar RM40,000.

Bagaimanapun risiko makanan mudah rosak ditambah pula dengan harga pasaran yang sering berubah menjadi cabaran terbesar yang terpaksa ditanggungnya dalam perniagaan makanan segar ini.

“Kami tidak dapat menyimpan barang-barang seperti sayur-sayuran dan buah-buahan terlalu lama. Ia perlu segera dihantar.”

Masalah lain yang dihadapinya apabila harga pasaran yang sering berubah membuatkan Ommafoody tidak dapat menetapkan harga.

“Kami tidak menyimpan stok, dan penetapan harga di luar kawalan kami. Oleh itu, kami harus sentiasa berunding dengan pembekal bagi mendapatkan harga yang terbaik. ”

Saddam menawarkan “jaminan wang dikembalikan” sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan barang atau perkhidmatan yang disediakannya.