Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk membenarkan golongan seperti pekerja yang diberhentikan untuk mengeluarkan dana daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan kita pada dasarnya bersetuju dan bersedia untuk mengkaji cadangan untuk pencarum yang benar-benar memerlukan untuk mengeluarkan peruntukan daripada Akaun 1,” katanya dalam temu bual bersama Bernama dan stesen televisyen tempatan lain di Putrajaya hari ini.
Kerajaan pada awal tahun membenarkan caruman KWSP pekerja dikurangkan kepada tujuh peratus daripada 11 peratus dan juga pengeluaran i-Lestari sebanyak RM6,000 daripada akaun 2 pencarum.
Hampir 70 peratus daripada pencarum KWSP memilih untuk mengurangkan caruman pekerja kepada tujuh peratus yang kini menyumbang kepada meningkatkan pendapatan boleh guna sebanyak hampir RM700 juta sebulan.