- Iklan -
Berita

Kes kanser paru-paru berpotensi meningkat kerana sesi rawatan tertangguh akibat pandemik

Batuk berterusan mungkin petanda awal kanser paru-paru yang mungkin merebak sebelum pandemik berakhir.

Amanda Suriya
2 minit bacaan
Kongsi
Rawatan awal kanser mampu memanjangkan hayat seseorang pesakit.
Rawatan awal kanser mampu memanjangkan hayat seseorang pesakit.

Pakar perubatan mula melaporkan kemunculan kesan sampingan pandemik Covid-19 yang membimbangkan.

Pusat Penyelidikan Barah UK mendapati ketika tempoh pandemik Covid-19 ramai orang yang mempunyai simptom kanser tidak berjumpa dengan doktor.

Para doktor dan badan bukan kerajaan (NGO) bimbang kerana individu yang sepatutnya dijadualkan menjalani pemeriksaan kanser paru-paru tidak berbuat demikian kerana percaya gejala yang mereka punyai mungkin disebabkan dijangkiti virus Covid-19.

Bulan November merupakan Bulan Kesedaran Kanser Paru-paru dan perunding pakar bedah kardiotoraks Dr Anand Sachithanandan memberitahu MalaysiaNow batuk yang berterusan adalah salah satu gejala Covid-19 dan ia juga mungkin tanda awal kanser paru-paru.

Anand, yang juga presiden Rangkaian Kanser Paru-paru Malaysia (LCNM), menekankan pengesanan awal kanser paru-paru mampu memberi rawatan lebih berkesan dan memanjangkan jangka hayat pesakit.

Kanser paru-paru menjangkiti dua juta orang setahun di seluruh dunia.

Di Malaysia, penyakit berkaitan barah merupakan penyebab kematian tertinggi dalam kalangan lelaki, dan merupakan kedua buat kaum wanita, selepas kanser payudara.

“Dunia masih belajar mengenai virus Covid-19,” kata Anand. “Kita tahu ia bukan saja menyerang saluran udara dan paru-paru, tetapi juga organ lain.”

Beliau menjelaskan bahaya yang timbul terletak pada bagaimana seseorang itu menafsir sama ada batuk itu gejala Covid-19 atau merupakan jangkitan lain tanpa mengambil kira berapa lama batuk itu berlaku.

“Sekiranya anda mengalami batuk berulang, berterusan dan menyukarkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu, anda harus berjumpa doktor atau pakar paru-paru,” katanya.

Walaupun kekurangan data tempatan dalam komuniti perubatan Malaysia sebagai sokongan bagi memberi keutamaan sama kepada pemeriksaan kanser paru-paru ketika pandemik, laporan dari UK itu mengandungi angka yang mencukupi untuk membuatkan pakar seperti Anand tampil membawa isu itu ke tengah.

“Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, terdapat sekatan lawatan dan kemasukan ke hospital, dan pesakit enggan memahaminya, tetapi jika anda mempunyai gejala yang merisaukan, maka anda harus mendapatkan rawatan,” kata Anand.

“Doktor dan pihak hospital tidak boleh menangguhkan kes ini, kerana pandemik mungkin akan bersama kita selama setahun lagi. Kita tidak boleh tangguhkan penyakit lain,” katanya.

“Dunia masih belajar mengenai virus Covid-19,” kata Anand. “Kita tahu ia bukan saja menyerang saluran udara dan paru-paru, tetapi juga organ lain.”

“Kerana jika anda menghidap kanser paru-paru, tempoh yang sama pada tahun depan ia sudah merebak.”

Di peringkat global, lebih daripada 80% kes Covid-19 tidak bergejala atau hanya bergejala ringgan, yang menguatkan lagi nasihat Anand untuk melakukan pemeriksaan sekiranya mengalami batuk berterusan selama lebih dua minggu tanpa perlu menangguhkan sehingga pandemik reda.

Batuk berterusan secara umum lebih mudah dikaitkan dengan kanser paru-paru berbanding simptom lain, seperti kehilangan berat badan secara mendadak, sesak nafas atau batuk berdarah yang kebiasaan berlaku pada tahap seterusnya.

Masalah dengan kanser paru-paru, Anand menjelaskan, pada peringkat awal ia adalah “pembunuh senyap” tanpa menunjukkan sebarang gejala atau gejala ringgan yang tidak spesifik.

“Majoriti batuk adalah batuk biasa,” katanya.

“Tetapi bagi perokok, biasanya akan mengalami batuk berkahak pada sebelah pagi, saya gesa mereka untuk hadir menjalani pemeriksaan barah jika mereka melihat perubahan pada corak batuk mereka.”

Di UK, satu pertiga pesakit kanser paru-paru maut sejak bermulanya pandemik keran mereka diberitahu doktor untuk tinggal di rumah kerana bimbang mereka dijangkiti Covid-19.

Para pakar bimbang sekiranya angka tersebut akan menyukarkan penambahbaikan dalam rawatan dan kelangsung barah, hanya kerana pandemik menyebabkan jumlah penghidap kanser yang tampil untuk mendapatkan rawatan menurun.