- Iklan -
Berita

Bagaimana PKP jadikan masyarakat lebih mesra alam sekitar

Keadaan dijangka akan mencabar selepas pandemik berakhir, peraturan dan undang-undang perlu diperketatkan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Selepas PKP dilaksanakan sungai, taman rekreasi dan tempat tumpuan ramai kini menjadi lebih bersih.
Selepas PKP dilaksanakan sungai, taman rekreasi dan tempat tumpuan ramai kini menjadi lebih bersih.

Terdapat kesan positif daripada Covid-19 apabila pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac dilihat berjaya melahirkan masyarakat yang lebih lestari sekaligus memberikan manfaat kepada alam sekitar selepas rutin harian berubah mengikut norma baru, kata pakar.

Ketua Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (EcoMy) Andrew Sebastian berkata, selepas PKP dilaksanakan sungai, taman rekreasi dan tempat tumpuan ramai kini menjadi lebih bersih.

“Ya, nampaknya terdapat peningkatan kesedaran terhadap aktiviti di luar rumah. Harap-harap trend ini terus berkembang sewaktu dan selepas pandemik, supaya orang menjadi mesra alam sekitar sama ada di dalam atau di luar rumah,” katanya kepada MalaysiNow.

Pandemik yang mula dikesan di Malaysia sejak awal tahun ini menyebabkan kehidupan masyarakat berubah apabila prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan Covid-19 seperti bekerja dari rumah menyebabkan jalan raya di bandar-bandar besar tidak lagi sesak dan kurangnya aktiviti di luar rumah

Sebastian berkata, masyarakat kelas pertengahan menjadi penyumbang utama ke arah melahirkan masyarakat lestari kerana memiliki pengetahuan yang lebih berbanding kelompok masyarakat lain.

Bagaimanapun katanya, kesedaran tentang kebersihan awam masih lagi rendah dan sesuatu perlu dilakukan.

“Ini menjadi petanda bahawa kerajaan mesti memikirkan insentif dan berusaha lebih kuat untuk mengubah trend tersebut,” katanya.

Tinjauan MalaysiaNow di media sosial seperti Facebook mendapati rata-rata pengguna berkongsi pengalaman berkebun dan bercucuk tanam sejak pelaksanaan PKP fasa pertama yang menghasilkan sumber makanan baru dan sebilangan kecil masyarakat sudah mula mengubah gaya hidup konsumerisme ke arah lebih lestari bermula dari rumah sendiri.

Sebastian berkata, masyarakat kelas pertengahan menjadi penyumbang utama ke arah melahirkan masyarakat lestari kerana memiliki pengetahuan yang lebih berbanding kelompok masyarakat lain.

Kini, Suhana, 47 dan Abu Rashid, 53 sudah memiliki lebih 10 buah pokok cili, kebun mini kobis gred C dan lebih tiga jenis pokok ulam.

“Selepas lihat sendiri tanaman kami menjadi, sekarang kami mula belajar bagaimana untuk menanam pokok buah-buahan pula. Mungkin pisang dan betik sebagai permulaan,” kata Suhana yang juga berkhidmat sebagai seorang guru sekolah rendah di Kuala Lumpur.

Suhana dan Abu Rashid berhasrat untuk mengekalkan cara baru kehidupan mereka walaupun selepas pandemik berakhir dan bertekad untuk lebih cakna terhadap alam sekitar.

“Apa juga cara yang kami berdua boleh lakukan, mungkin dengan cara hadkan daripada keluar rumah jika tiada urusan penting, tidak bakar sampah, tidak buang sampah merata dan lain-lain. Cara begini sudah membantu untuk kurangkan pencemaran alam sekitar.

“Harapnya, orang lain juga boleh lakukan demi alam sekitar kita,” kata pasangan itu kepada MalaysiaNow.

Sebastian dari EcoMy bagaimanapun berkata, menjadi satu cabaran besar untuk memastikan trend ini berterusan selepas pandemik dan tempoh PKP tamat.

Katanya, masih banyak ruang dan peluang yang boleh digembleng bersama supaya alam sekitar sentiasa dipelihara pada setiap masa tanpa mengira semasa atau selepas krisis.

“Kita boleh buat lebih daripada ini,” kata Sebastian dan menambah kerajaan perlu menggubal undang-undang lebih ketat bagi mencapai matlamat tersebut

Aktivis alam sekitar, Nurul Syakila Zen berkata, sekiranya kerajaan boleh menyediakan SOP dan peraturan yang berkesan untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka, maka undang-undang atau peraturan sama juga perlu dilaksanakan untuk menjaga alam sekitar.

Katanya di Thailand dan Indonesia sebelum mana-mana individu atau kumpulan memasuki hutan untuk aktiviti meredah hutan atau memanjat gunung, barang-barang mereka akan dikira dan ditimbang dan sekiranya berkurangan selepas tiba di kaki gunung, mereka akan didenda kerana disyaki membuang sampah.

“Malaysia sepatutnya sudah laksanakan peraturan seperti ini di setiap kawasan tumpuan pengunjung,” kata Nurul Syakila.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.