- Iklan -
Berita

PM Israel ucap tahniah kepada Biden

Gelar Biden sebagai sahabat baik Israel dan memiliki sejarah hubungan baik hampir 40 tahun.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Donald Trump. Gambar: AP
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Donald Trump. Gambar: AP

Perdana Menteri Israel yang juga sekutu baik Donald Trump, Benjamin Netanyahu mengucapkan tahniah kepada Joe Biden di atas kejayaan memenangi pilihan raya Amerika Syarikat (AS), dengan menggelar presiden yang dipilih itu sebagai “sahabat baik Israel”, lapor AFP.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan kedua-dua kamu bagi mengukuhkan lagi hubungan antara AS dan Israel,” tulis Netanyahu dalam Twitter, dengan merujuk kepada Biden dan Naib Presiden Kamala Harris.

Netanyahu, yang menggunakan gambar dirinya duduk bersebelahan Trump pada akaun Twitter berkata, beliau dan Biden memiliki “sejarah hubungan baik hampir 40 tahun, dan saya mengenali anda sebagai sahabat baik Israel”.

Perdana menteri Israel sebelum ini pernah menggambarkan Trump sebagai sekutu terkuatnya di Rumah Putih, dan dasar digariskan Republikan disokong sayap kanan pentadbirannya.

Dalam ciapan seterusnya, Netanyahu turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada Trump “di atas persahabatan yang anda tunjukkan kepada Israel dan diri saya secara peribadi, kerana mengiktiraf Baitulmuqaddis dan Bukit Golan, serta perjanjian damai dan membuka laluan kepada pakatan Amerika-Israel ke tahap paling tinggi”.

Trump secara unilateral menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran pada tahun 2015, dan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Trump juga menyokong kedaulatan Israel terhadap Bukit Golan, yang dirampas daripada Syria dan mengelak mengkritik penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Perdana menteri Israel sebelum ini pernah menggambarkan Trump sebagai sekutu terkuatnya di Rumah Putih, dan dasar digariskan Republikan disokong sayap kanan pentadbirannya.

Beliau turut membantu dalam perjanjian perdamaian antara Israel dan tiga negara Arab, iaitu Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Sudan.

Netanyahu, bersama menteri pertahanan dan luarnya, dikritik pemimpin pembangkang Yair Lapid pada petang Sabtu kerana tidak mengucapkan tahniah di atas kejayaan Biden tepat pada masanya.

“Tindakan Netanyahu, (Benny) Gantz dan (Gabi) Ashkenazi yang belum mengucapkan tahniah kepada presiden baru AS adalah tindakan pengecut dan memalukan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kepentingan Israel,” kata Lapid.

“Jika presiden Perancis, canselor Jerman dan perdana menteri Britain boleh melakukannya, anda juga boleh,” tulisnya dalam Twitter.

Menteri Pertahanan Gantz dan menteri luar Ashkenazi mengucapkan tahniah kepada Presiden dan naib presiden AS yang baru dipilih beberapa jam, selepas ucapan kemenangan Biden pada malam Sabtu.

Menurut satu hasil undian sebelum pilihan raya AS oleh kumpulan pemikir Institut Demokrasi Israel mendapati, 63 peratus rakyat Israel mahu Trump menang bagi penggal kedua.