Semua sekolah akan terus ditutup sehingga tahun depan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di hampir semua negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan kata Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) Radzi Jidin.
Beliau berkata, penutupan sekolah ini termasuk di negeri-negeri yang tidak dikenakan PKPB mulai esok sehingga sesi persekolahan bermula pada 20 Januari 2021.
“Mengambil kira pengumuman tersebut serta takwim persekolahan tahun 2020, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan semua sekolah termasuk kolej vokasional di bawah KPM di negeri-negeri terlibat akan ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B.
“Penutupan ini melibatkan 74 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah KPM.
“Oleh yang demikian, KPM memutuskan semua sekolah di negeri Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak akan turut ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B.
“Langkah ini diambil bagi membantu usaha Kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.
Katanya, sepanjang tempoh penutupan sekolah, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara “Home-based Learning” mengikut kesesuaian guru dan murid.
Radzi berkata, pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah dan di sepanjang tempoh itu juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing.
“Sepertimana Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021. Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.
“Bagi sekolah menengah pula, murid tingkatan 1, tingkatan 4, tingkatan 5 dan tingkatan 6 serta semua murid kolej vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.
“Manakala, murid tingkatan 2 dan tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid. Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.”
Sementara itu KPM juga memutuskan untuk meminda tarikh peperiksaan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagitahun 2020.
Peperiksaan SPM,SVM,STAM akan bermula pada 22 Februari 2021.
Manakala, peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021.
“Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat.”
Dalam pada itu bagi membantu calon-calon peperiksaan awam tahun 2020 membuat persediaan secukupnya, Radzi berkata sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing-masing mulai 20 Januari 2021.
“Kesemua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini.”
Katanya, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tingkatan satu dan tingkatan empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
KPM juga katanya akan menjadualkan semula semua pentaksiran peperiksaan percubaan SPM dan akan dimaklumkan kemudian.
Berhubung kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain bagi tahun 2021, penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Bagi pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.
“Pelajar Program Matrikulasi KPM akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021.
“Ujian Malaysian University English Test (Muet) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember 2020 akan ditangguhkan ke tahun 2021,” katanya.