- Iklan -
Berita

Kerajaan sediakan RM100 juta dana ‘Penjana KPT-CAP’ untuk graduan menganggur

300,000 graduan akan mendapat manfaat daripada program Penjana KPT-CAP.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
300,000 graduan dibantu menerusi inisiatif Penjana KPT-CAP melibatkan IPTA, IPTS dan ILKA.
300,000 graduan dibantu menerusi inisiatif Penjana KPT-CAP melibatkan IPTA, IPTS dan ILKA.

Kerajaan memperuntukkan RM100 juta menerusi inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP) bagi membantu graduan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menganggur mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan mereka, kata Noraini Ahmad.

Menteri pengajian tinggi itu berkata, ini bagi membantu 300,000 graduan yang sudah dan akan menamatkan pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) pada 2020.

Noraini berkata, tiga program utama yang digerakkan oleh KPT di bawah peruntukan Penjana iaitu program “Job Matching and Placement”; program berterusan keusahawanan; dan “Gig Economy”.

“Program berbentuk latihan kemahiran jangka pendek dan sederhana ini dijangka dapat memberikan manfaat dan nilai tambah kepada sejumlah 20,000 graduan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

“Sebagai langkah tambahan, kementerian turut menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui agensi-agensi di bawahnya untuk melaksanakan beberapa inisiatif. Antaranya program ‘reskilling dan upskilling’ bersama Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta menteri pengajian tinggi menyatakan apakah statistik dan angka graduan di IPTA dan IPTS pada tahun ini.

Wong juga ingin tahu apakah langkah-langkah diambil KPT dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia dalam menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan baru.

“Program berbentuk latihan kemahiran jangka pendek dan sederhana ini dijangka dapat memberikan manfaat dan nilai tambah kepada sejumlah 20,000 graduan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Menurut Noraini melalui program ini, graduan akan ditempatkan di syarikat-syarikat yang dikenal pasti HRDF selama satu  bulan hingga tiga bulan untuk mereka menjalani latihan persijilan profesional dan kemahiran dalam bidang yang diperlukan oleh industri.

Katanya, mereka akan ditawarkan pekerjaan di syarikat-syarikat tersebut sekiranya berjaya menamatkan latihan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Kementerian juga melaksanakan program padanan pekerjaan kepada graduan dengan kerjasama Perkeso. Graduan-graduan yang berdaftar di ‘Portal Graduates Reference Hub for Employment and Training’ atau ringkasnya GREaT yang diselia oleh KPT akan dipadankan dengan kekosongan jawatan di syarikat yang berdaftar melalui portal MyFutureJobs di bawah seliaan Perkeso.

“122,702 graduan mendaftar untuk dipadankan dengan kekosongan perjawatan di dalam portal terbabit dan sejumlah 31,942 graduan sudah mendapat penempatan, sehingga 28 Oktober lalu.”