Pelanggan yang tidak memasuki kedai stesen minyak untuk membuat transaksi pembayaran bagi mengisi minyak adalah tidak diwajibkan mengimbas kod MySejahtera.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan individu yang membuat transaksi menggunakan kad kredit dan debit serta aplikasi dalam talian dan membayar melalui tingkap ‘pigeon hole’ serta mereka yang mengisi angin tayar dan menggunakan khidmat cuci kereta secara automatik.
Katanya bagi individu yang melakukan pembayaran atau transaksi dalam kedai di stesen minyak sama ada untuk membuat pembayaran petrol, pembelian barangan dan mengeluarkan duit di ATM, perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual.
“Individu yang menggunakan surau dan tandas juga perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual. Begitu juga dengan mereka yang menghantar kenderaan ke bengkel di stesen minyak dan mereka yang menggunakan perkhidmatan cuci kereta secara manual,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.
Katanya keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi isu pelanggan yang perlu mengimbas kod MySejahtera selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sebelum memasuki premis tersebut.