- Iklan -
Berita

Kekurangan maklumat mengenai Jasa punca jabatan itu dikritik hebat

Ketua blok kerajaan pertahan ‘kerja baik’ yang dilakukan jabatan itu sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Memelihara kestabilan sosio-politik merupakan salah satu objektif utama Jasa, sebuah jabatan milik kerajaan yang ditubuhkan sejak tahun 1958.
Memelihara kestabilan sosio-politik merupakan salah satu objektif utama Jasa, sebuah jabatan milik kerajaan yang ditubuhkan sejak tahun 1958.

Ketua penyokong blok kerajaan meminta penjelasan lebih jelas mengenai peranan dan fungsi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), yang menerima peruntukan sebanyak RM85.5 juta dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini selepas ia menimbulkan kontroversi kerana jabatan itu sebelum ini lebih dikenali sebagai jentera propaganda kerajaan.

Shahidan Kassim percaya dengan berbuat demikian ia akan meredakan kontroversi yang dicetuskan jabatan tersebut.

Jasa merupakan satu unit yang dibentuk di bawah kementerian maklumat pada tahun 1958, kira-kira setahun kemerdekaan iaitu selepas pilihan raya umum pertama Tanah Melayu diadakan.

Shahidan yang merupakan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), berkata fungsi asal penubuhan Jasa adalah untuk memberikan penerangan berhubung dasar-dasar kerajaan, dengan salah satu objektifnya bagi mengekalkan kestabilan politik.

“Mereka menjadi aset negara yang mendepani cabaran dalam hal sosio-politik negara khusus dalam memartabatkan kestabilan dan kedaulatan negara yang tercinta.

Namun, Shahidan berkata pembukaan semula Jasa, yang sebelum ini dibubarkan ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 21 bulan, adalah satu tindakan yang berani dalam menjelaskan apa yang dilakukan kerajaan.

“Ia juga mampu menangani masalah pembohongan pihak-pihak tertentu terhadap jasa baik yang dilakukan kerajaan,” kata Shahidan, menambah terdapat juga pembohongan-pembohongan mutlak yang dahsyat kepada rakyat.

Kerajaan PH sebelum ini bertindak membubarkan Jasa selepas lima bulan berkuasa pada tahun 2018.

Semalam MalaysiaNow mendedahkan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membubarkan Jasa sebaliknya jabatan yang sebelum ini berada di bawah Pejabat Perdana Menteri “dibiarkan hidup” walaupun ketika kerajaan PH bergolak pada Februari.

Waran penubuhan jabatan itu yang merupakan dokumen Perbendaharaan yang memberi kuasa mewujudkan, menambah dan mengurangkan bilangan jawatan atau mengubah tangga gaji dan gred jawatan, tidak pernah dinyahaktifkan dan kekal wujud walaupun selepas kerajaan PH tumbang selepas perletakan jawatan Mahathir pada 24 Februari tahun ini.

Laporan itu berkata, kerajaan di bawah Muhyiddin Yassin telah mengambil peluang itu menghidupkan kembali Jasa kerana ia “dibiarkan hidup”.

Beberapa ahli Parlimen baik daripada kerajaan dan pembangkang mempersoalkan peruntukan besar Jasa ketika membahaskan belanjawan pada minggu ini, dengan mengatakan peruntukan itu sepatutnya disalurkan kepada usaha memerangi pandemik Covid-19.

Menurut pemerhatian MalaysiaNow, rata-rata ahli Parlimen tidak menyokong peruntukan kepada Jasa kerana menyifatkan tiada perincian tentang tujuannya dihidupkan semula.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.