Pandemik Covid-19 yang menyebabkan sekolah terpaksa ditutup beberapa kali sejak Mac telah menggangu takwim persekolahan, terutamanya melibatkan murid-murid dalam kategori pendidikan khas apabila rutin di dalam kelas dan aktiviti pembelajaran terganggu, terpaksa digantikan dengan sesi pembelajaran dalam talian serta pengisian modul bercetak.
Murid dalam kategori ini termasuk mereka yang memiliki kurang upaya pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, masalah pembelajaran dan pelbagai (multiple disabilities).
Keadaan mereka kembali sama susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir ke seluruh negara serta arahan kementerian pendidikan agar semua sekolah ditutup sehingga akhir tahun.
Pakar memberi amaran kaedah pengajaran tanpa bersemuka tidak akan berjaya dicapai tanpa kerjasama yang baik antara guru dan ibu bapa khususnya dalam memastikan setiap pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran berdasarkan keupayaan masing-masing.
“Guru yang mengajar murid pendidikan khas sudah semestinya lebih mengenali keupayaan dan keperluan pembelajaran setiap murid mereka.
“Mereka perlu merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan teliti agar setiap murid mampu mendapat manfaat,” kata Penyelaras Unit Pendidikan Khas dari Universiti Sains Malaysia (USM) Che Aznan Ahmad kepada MalaysiaNow.
Bagaimanapun, katanya, tidak dinafikan kaedah pembelajaran tersebut mempunyai cabaran terhadap ibu bapa kerana mereka tidak berkemahiran seperti guru yang terlatih melainkan mereka juga terdiri daripada golongan pendidik.
Atas sebab itu, beliau menyeru para guru pendidikan khas supaya menggunakan kreativiti masing-masing dan tidak bergantung kepada pembelajaran secara virtual.
Misalnya, guru boleh menghadkan isi kandungan dan latihan yang diberikan agar tidak membebankan murid dan penggunaan pita rakaman amat digalakkan kerana berupaya membantu murid mengikuti kelas secara berulang kali.
“Guru yang mengajar murid pendidikan khas sudah semestinya lebih mengenali keupayaan dan keperluan pembelajaran setiap murid mereka.
“Penilaian oleh guru juga boleh menjadikan murid lebih bermotivasi untuk menyiapkan latihan yang diberikan,” katanya.
Cabaran guru
Seorang guru pendidikan khas di Batu Pahat, Johor, mahu dikenali sebagai Cikgu Din berkata, wujud kebimbangan dalam kalangan tenaga pengajar tentang risiko murid-murid akan “tercicir” dalam pembelajaran akibat penutupan sekolah.
Katanya, rata-rata ibu bapa mengadu anak-anak mereka tidak boleh menerima sesi belajar di rumah berbanding berada di dalam kelas secara bersemuka dengan para guru.
“Kerana pada mereka, di rumah tiada waktu matematik pukul 9 pagi, tiada bahasa Melayu pukul 8.30 pagi, mereka bebas di rumah.
“Jadi, respons ibu bapa adalah, murid-murid ini terus menolak sesi pembelajaran tersebut. Tak mahu belajar. Ini akan sebabkan kecicirian,” katanya kepada MalaysiaNow.
Katanya murid-murid akan lupa apa yang mereka belajar di tambah pula cuti yang panjang.
“Maka, kita (guru) perlu diagnosis tahap kemahiran mereka semula selepas sekolah dibuka kembali,” tambahnya.
Bagi mengatasi permasalahan di rumah, katanya, guru menyarankan ibu bapa supaya tidak menggunakan unsur “mengarah” kepada anak masing-masing untuk menyertai pembelajaran dalam talian.
Malah tidak perlu wujud paksaan daripada pihak guru untuk memastikan setiap modul yang dibekalkan diselesaikan secara lengkap.
“Maksud saya, bila kita kata nak kena siapkan kerja sekolah. Si ibu bapa pula lengkapkan modul, anak tengok sahaja. Kita mahu mereka di rumah jadi guru, bukan murid.
“Jadi, biar mereka ajar dan bimbing ikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Berbeza dengan guru muda, Qammar Fatihah berkata sebahagian muridnya lebih teruja mengikuti kelas dalam talian.
“Sebab mereka boleh guna macam-macam gajet,” katanya.
“Ada ketikanya satu sesi kelas boleh berlanjutan sehingga dua jam kerana ambil masa untuk tenangkan keterujaan mereka.”
Katanya, beliau dan rakan-rakan guru tiada pilihan selain membuat pembelajaran virtual ketika pandemik, bagaimapun, beliau mencabar diri untuk membuat panggilan telefon dengan setiap pelajar untuk memastikan mereka memahami pengisian kelas dan arahan yang tertera pada kerja rumah.
Beliau juga turut merakam video yang menunjukkan penjelasan dan cara penyelesaian yang dikehendaki bagi memastikan setiap murid memahami dan berupaya menyelesaikannya.
“Kami bukan fokus untuk habiskan silibus, kini tumpuan kami untuk memastikan mereka faham,” katanya.