Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membuat kemunculan pertama pasca pilihan raya semalam, dalam situasi yang kini dicemari keengganannya mengakui kemenangan Joe Biden berbanding peluang untuk penyatuan kebangsaan ketika Hari Veteran.
Pada hari yang mendung dan hujan, Trump mengunjungi Pusara Nasional Arlington untuk majlis ringkas sebelum jam 11.30 pagi, empat hari selepas media AS melaporkan pesaingnya dari parti Demokratik bakal menguasai Rumah Putih.
Sejak itu, beliau belum berucap secara umum di negara itu, kecuali menerusi Twitter dan satu kenyataan sempena Hari Veteran, selain masih belum mengaku kalah kepada Biden berbanding kebiasaan apabila pemenang dijangka menerusi undian rakyat AS.
Ketika kes Covid-19 memecah rekod di negara itu dan beberapa negeri mengenakan sekatan baru untuk mengawal virus itu sebelum musim sejuk, Trump dilihat mengenepikan tugasan kebiasaan presiden AS, kecuali kehadirannya di Arlington, namun tidak memberi sebarang ucapan.
Sebaliknya, beliau kekal dalam kediaman rasminya, dan cuba membayangkan akan memenangi pilihan raya serta memulakan langkah perundangan dengan mendakwa berlaku penipuan, yang masih belum disokong sebarang bukti kukuh.
Semalam, Trump menerusi Twitter membuat dakwaan tanpa bukti terbaru mengenai penipuan pilihan raya, walaupun pemerhati antarabangsa, pemimpin dunia, pegawai pilihan raya tempatan dan media AS secara konsensus percaya pilihan raya pada 3 November lalu dijalankan secara bebas dan adil, dan tiada bukti kukuh mengenai dakwaan penipuan itu.
Semua tindakan perundangannya dilihat tidak mampu mengubah keputusan pilihan raya, dan kiraan semula undian Biden yang menang tipis di Georgia atau mana-mana negeri juga tidak mungkin mengubah keputusan terbabit.
Sebaliknya, beliau kekal dalam kediaman rasminya, dan cuba membayangkan akan memenangi pilihan raya serta memulakan langkah perundangan dengan mendakwa berlaku penipuan, yang masih belum disokong sebarang bukti kukuh.
Biden dan isterinya, Jill menghadiri majlis Hari Veteran di Memorial Perang Korea di Philadelphia, semalam.
Sejak jangkaan kemenangannya diumumkan Sabtu lalu, Biden sudah berucap kepada rakyat AS, menubuhkan pasukan petugas coronavirus, bercakap dengan pemimpin dunia, termasuk sekutu Trump, mula menilai calon anggota Kabinet dan menyampaikan ucapan dasar.
Aktiviti Trump di luar Rumah Putih yang diketahui pula adalah bermain golf dua kali pada hujung minggu, selepas keputusan pilihan raya dikeluarkan.