Kesemua 1,279 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran pada Selasa lepas, telah menerima bekalan air sepenuhnya pada 12 tengah hari tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata beliau menghargai kesabaran pengguna di kawasan terjejas yang melibatkan wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengguna disarankan supaya mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.