- Iklan -
Berita

Polis Selangor nafi kasari tahanan kes tembak di Banting

Tular satu video menunjukkan sekumpulan tahanan lokap polis merayu dan meminta pertolongan di ruang bangunan mahkamah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar lokasi kejadian tembak di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting, September lalu. Gambar: Facebook
Gambar lokasi kejadian tembak di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting, September lalu. Gambar: Facebook

Polis Selangor menafikan bertindak kasar terhadap 29 orang tahanan satu kes tembakan sebelum memasuki kamar mahkamah untuk mendapatkan perintah reman semalam.

Ini susulan tular satu video di media sosial yang menunjukkan sekumpulan tahanan lokap memakai baju oren merayu dan meminta pertolongan di ruang bangunan mahkamah.

Manakala, kelihatan beberapa anggota polis mengarahkan mereka untuk bangun berdiri dalam kadar segera.

Klip video berdurasi 2 minit 20 saat itu dikongsikan pengguna Twitter, @apizzahoe turut memperlihatkan seorang lelaki berpakaian tidak formal mengasari tahanan di bahagian kepala yang sedang terbaring di lantai sebelum mengheret tahanan yang bergari ke kamar mahkamah.

Bagaimanapun Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin menegaskan tiada sebarang unsur keganasan yang dilakukan oleh anggotanya dalam proses mendapatkan reman para suspek kes tembakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting, September lalu.

“Dalam klip itu saya tidak nampak tahanan dipukul pun,” katanya kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah mahkamah majistret di Selangor, pagi semalam.

Sehingga kini, video tersebut masih mengundang reaksi pengguna internet mengatakan kejadian “police brutality” (keganasan polis) bukan sahaja berlaku di negara-negara luar tetapi di dalam negara sendiri.

“Dalam klip itu saya tidak nampak tahanan dipukul pun,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada 25 September lalu, media melaporkan sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan sekolah itu pada tengah hari.

Dua lelaki terbabit dipercayai ditembak dua individu yang menaiki sebuah motorsikal. Mangsa yang cedera terkena tembakan itu adalah seorang pengawal peribadi dan majikannya.

Dalam pada itu, Noor Azam enggan mengulas apabila ditanya mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang menunjukkan tahanan diletakkan di ruang menunggu yang sempit sebelum dipanggil bagi mendapatkan perintah reman.

 

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.