- Iklan -
Berita

Pelbagai pendekatan digunakan KKMM bagi menangani berita palsu Covid-19

KKMM gunakan semua platform bendung sebar berita palsu hingga boleh timbulkan rasa panik.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pelbagai kaedah digunakan kerajaan secara berterusan untuk memberikan informasi yang tepat bagi menangani berita palsu.
Pelbagai kaedah digunakan kerajaan secara berterusan untuk memberikan informasi yang tepat bagi menangani berita palsu.

Kerajaan akan terus mengenal pasti kaedah paling berkesan dalam menangani isu penyebaran berita palsu dan tidak benar bagi memastikan rakyat mendapat berita yang sah dan terkini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.

Mah yang mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, KKMM sentiasa berusaha membendung masalah penyebaran berita palsu terutama berkaitan dengan pandemik Covid-19 yang menimbulkan rasa panik dan menggugat ketenteraman awam.

Katanya, KKMM menerusi agensinya seperti RTM, Jabatan Penerangan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bernama secara berterusan menggunakan platform masing-masing untuk memberikan informasi yang tepat dan tulen berkenaan dasar kerajaan.

“Antara tindakan dilaksanakan seperti Program ‘Info On Wheel’ atau turun padang bagi penerangan terus ke akar umbi mengenai langkah pencegahan Covid-19 supaya masyarakat lebih faham dan mendapatkan maklumat tepat. Program ini membabitkan seluruh pemimpin masyarakat dari seluruh negara.

“Media sosial rasmi KKMM juga digunakan untuk menyangkal isu penyebaran berita palsu dengan penyebaran maklumat yang sahih mengenai kenyataan media, liputan berita atau video daripada RTM dan Bernama.

“Dari Januari hingga Oktober 2020, 987 hantaran atau posting menggunakan maklumat daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Penyiaran Malaysia dan Bernama untuk dihebahkan di semua media rasmi Japen,” katanya.

Beliau menjawab soalan Shahidan Kassim (BN- Arau) yang meminta menteri komunikasi dan multimedia menyatakan apakah mekanisma yang dilakukan KKMM bagi membendung masalah penyebaran berita palsu terutamanya berkaitan pandemik Covid-19 hingga menimbulkan panik dan menggugat ketenteraman awam.

“Media sosial rasmi KKMM juga digunakan untuk menyangkal isu penyebaran berita palsu dengan penyebaran maklumat yang sahih mengenai kenyataan media, liputan berita atau video daripada RTM dan Bernama.

Selain itu Shahidan turut bertanya apakah KKMM bercadang untuk mengembalikan semula Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Mah berkata KKMM juga menggunakan kaedah paparan elektronik atau “billboard” dan publisiti menerusi media bercetak dengan kerjasama rakan strategik bermula pada awal Februari dan diteruskan dengan kempen pembudayaan norma baru bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau berkata KKMM juga menerbitkan dan mengedarkan lebih sejuta risalah ke seluruh negara dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Iban dan Kadazan bagi menangani isu penyebaran berita palsu.

“RTM juga sudah menerbitkan rancangan bertajuk ‘Pastikan Sahih’ yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6.30 petang di saluran Berita RTM MyFreeView 1,2,3 bagi memberikan maklumat benar dan membetulkan maklumat palsu yang tular menerusi penubuhan Pasukan Respon Pantas (PRP) pada 24 Mac lalu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), SKMM dan Japen.

“KKMM berharap rakyat dapat bertindak memerangi berita palsu yang boleh menyebabkan timbul rasa gusar dan, mengancam ketenteraman awam dengan mesej ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’.”