- Iklan -
Berita

‘Beri saya perjanjian’ – Petikan perbualan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low

Petikan perbualan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dalam perbualan telefon merayu dengan kerajaan baru tidak berapa lama selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi

Saluran berita berpusat di Qatar Al-Jazeera menyiarkan rakaman audio eksklusif perbualan ahli perniagaan dalam buruan itu dengan pegawai penyiasat Malaysia di mana Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low merayu untuk membuat perjanjian kesnya dengan kerajaan Malaysia seperti dilakukannya dengan pihak berkuasa AS berhubung dakwaan berkait 1MDB.

Berikut adalah beberapa petikan perbualan dalam dua siri video disiarkan Al Jazeera.

Jho Low: Anda boleh rakam jika mahu

Sejujurnya, saya gembira dapat berbual dengan anda menggunakan WhatsApp, saya selesa menggunakan perbualan video.

Kerana bagi saya, ia lebih jelas, maksud saya, sama ada anda merakam atau tidak, terpulang, saya tidak ada masalah dengannya.

Apa yang saya tahu, saya akan lakukan apa saja untuk bergerak ke depan.

Saya tidak dapat untuk sekurang-kurangnya bertemu dengan orang, tetapi sekarang saya seperti berada dalam perintah berkurung, tetapi saya ok.

Perjanjian dengan Putrajaya

Anda sendiri tahu, saya ingin anda sampaikan kepada Tun Mahathir jika boleh, yang saya benar-benar percaya perubahan dalam kerajaan sekarang membuka peluang untuk menyelesaikan semua isu berkait 1MDB, dan saya komited mengenainya.

Secara dasar, saya setuju untuk serah kembali semua aset di Amerika Syarikat (AS), dan wang itu akan digunakan bagi membayar balik secara langsung bon dolar AS 1MDB.

“AS tidak mempercayai kerajaan Malaysia sehingga mereka mengatakan mereka tidak akan memulangkan kembali wang itu,” dakwa Low.

Jika saya tanda tangan perjanjian itu, kerajaan Malaysia pada dasarnya akan berkata, OK, adakah anda sekarang akan katakan wang itu didakwa daripada 1MDB?, walhal tidak.

Namun, pendirian saya, saya beritahu mereka, ‘Cuba lihat di AS, anda boleh tanda tangan perjanjian penyelesaian tanpa perlu mengaku bersalah’.

Berharap dapat membuat perjanjian dengan Singapura

Peguam negara (AS) sudah mengadakan beberapa perbincangan dengan Peguam Negara Singapura, dan mereka bersetuju untuk menggugurkan tuduhan itu, sebagai balasan saya perlu bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan ke atas semua aset, dan mereka turut bersetuju menarik balik notis merah Interpol.

Singapura turut meletakkan saya dalam notis merah, kerana itu saya mempunyai sekatan perjalanan.

Saya sudah serah kembali banyak aset, dan masih ada sebahagian yang masih belum saya serahkan.

Oleh itu saya fikir jika pihak Singapura mendengarnya dari Malaysia dengan berkata, ‘Tengok, En Low tidak mahu melakukan sebarang tuntutan, dengan mudah saya boleh lakukan dalam tempoh lima hari saja.

Jelas sekali, sebagai balasan, saya memerlukan pihak Singapura menarik balik notis merah Interpol saya, yang mereka sudi lakukan, dan pada masa depan mereka tidak lagi boleh mengenakan sebarang notis baru kepada saya, tetapi jika mereka masih ingin mengenakan notis baru, itu terpulang kepada mereka.

Saya juga bersedia tarik balik semua tuntutan saya ke atas semua aset, dan secara jelas nyatakan kerajaan Malaysia boleh ambil semuanya.

Kemudian sebagai balasan, anda sudah tahu yang saya memerlukan jaminan dari Malaysia dengan kerjasama saya berikan, jika ini dipersetujui dan tiada sebarang pertuduhan terhadap saya pada masa depan ataupun di kemudian hari.

Jadi apa yang berlaku jika kita berusaha untuk menjual semua aset, ia hanya akan memudahkan pihak Jabatan Kehakiman (DoJ) dan Malaysia, jadi anda semua tidak perlu melakukan sebarang perjanjian pada peringkat aset.

Penjualan kapal layar Equanimity

Kami berbincang dengan mereka untuk cuba membawa keluarnya dari Indonesia ke laut Mediterranean kerana kami fikir mampu mendapat harga lebih tinggi berbanding AS. Kerana pada musim panas lebih mudah untuk menjual sebuah kapal.

Apabila sampai masanya, kami mungkin perlukan bantuan anda untuk berbincang dengan pihak Indonesia. Tetapi ia mesti dengan DoJ…..

‘Najib perlu dipersalahkan, bukan saya’

Saya rasa ia tidak adil jika di penghujung, sesiapa saja yang mereka ingin sebut, tetapi kesudahannya, saya tidak ada sebarang kuasa untuk membuat keputusan.

Faktanya cukup jelas bahawa semua kelulusan perlu diluluskan oleh menteri kewangan.

Sejujurnya, saya kenal orang-orang yang mampu membantu jika objektifnya ‘Jom lihat hitam dan putih, salah siapa, adakah salah perdana menteri, adalah salah wanita pertama?

Kemudian saya berfikir bolehkah semua orang balik dan menyediakan dokumen, dan seterusnya.

Sumbangan’ Arab Saudi kepada Najib

Saya hanya akan memberitahu anda apa yang benar. Kebenarannya ialah, memang benar Raja Abdullah bersetuju untuk memberikan derma kepada PM. Tetapi itu hanyalah sebahagian kecil daripada bahagian yang lebih besar.

Oleh itu saya fikir apa yang mereka cuba lakukan adalah ambil bahagian pertama, dan berselindung dengannya secara keseluruhan.

Maksud Nik Faisal (bekas CEO SRC International), dia dengan senang hati boleh menandatangi akuan berkanun (SD), saya akan memastikan SD ini selari dengan fakta dan jika saya bersetuju, dia boleh menandatangani, pulang dan meneruskan kehidupannya.

Barang kemas Rosmah

Saya rasa bahagian paling mencabar adalah untuk mengetahui setiap langkah, yang digunakan untuk membeli semua barang kemas ini.

Saya tidak ada angka yang tepat, kerana ia berlaku dari semasa ke semasa. Tetapi saya percaya angka itu melebihi setengah billion dolar. Jumlah itu amat besar.

Perkaitan China

Saya berpandangan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) amat penting. Ia seperti (tidak kedengaran) disebabkan program One Belt One Road di Asia.

Tetapi saya rasa pendirian China adalah, saya faham kerajaan sekarang mungkin perlu selaras balik harga, tetapi saya agak pragmatik, namun enggan melibatkan diri terutama perkara berkaitan Najib.

Saya tak fikir mereka akan mereka akan memansuhkannya, tetapi saya rasa mereka akan khuatir mengenai kesannya membabitkan reputasi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.