- Iklan -
Berita

RM1 bilion untuk bantu generasi kedua Felda, kata menteri

Program PPP akan meningkatkan pendapatan peneroka dan bantu jayakan dasar jaminan keselamatan makanan negara.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Peladang mengangkat buah kelapa sawit Gambar: Bernama
Peladang mengangkat buah kelapa sawit Gambar: Bernama

Felda akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM1 bilion diberikan kerajaan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) bagi meningkatkan pendapatan peneroka dan membantu menjayakan dasar jaminan keselamatan makanan negara (food security).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata perkara berkenaan selari dengan inisiatif diumumkan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan peneroka Felda di bawah Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen pada 10 April 2019.

Katanya pelaksanaan program berkenaan dibuat melalui projek pertanian dan ternakan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan ruminan, unggas, akuakultur dan ternakan eksotik.

“Felda juga memberi perhatian kepada jenis tanaman dan ternakan yang kadar kecukupan sara diri (self sufficient level) masih rendah seperti produk tenusu, daging lembu atau kerbau, daging kambing atau biri-biri, kelapa, akuakultur dan cili.

“Selain itu, Felda juga fokus kepada projek bernilai tinggi seperti projek arnab, herba, sayuran fertigasi, halia, roselle, nanas, dan buah tin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS- Sik) meminta perdana menteri menyatakan projek tanaman kontang bagi memulihkan prestasi Felda bernilai RM1 bilion dalam tempoh lima tahun sepertimana diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) pada 2019.

Sehubungan itu, Mustapa berkata Felda sudah meluluskan peruntukan RM10.7 juta bagi menjayakan 67 projek penternakan dan tanaman di seluruh negara, sehingga Oktober lalu.

Sebahagian projek berkenaan sudah dimulakan menerusi pembekalan input pertanian atau peralatan yang mula dibekalkan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebagai ejen perolehan Felda untuk program PPP.

Tambahnya 46 projek lagi melibatkan 32 projek individu dan 14 projek koperasi dengan nilai RM4.5 juta akan diluluskan dalam masa terdekat.

“Bagi memastikan kelancaran PPP, Felda melaksanakan model baru pelaksanaan PPP bersama Agro Bank yang mana program ‘Quick Win’ untuk 10 koperasi dan 40 projek individu sedang dijalankan dengan anggaran nilai menghampiri RM11 juta yang dibiayai oleh Felda melalui dana PPP.

“Sebagai contoh, RM7 juta diperuntukkan bagi menjayakan tanaman nanas MD2 di Besout yang memanfaatkan 1,501 peserta.

“Untuk menjayakan projek PPP, Projek Rintis Felda Bukit Rokan yang pertama telah dilaksanakan pada November 2019 di atas tanah seluas 50.7 ekar dan dijangka memanfaatkan 240 peneroka.”

Selain itu, menurut Mustapa penglibatan peneroka dan generasi baru sebagai peserta program individu bagi tanaman cili, cendawan, sayur-sayuran dan ternakan arnab, juga digalakkan untuk bekerja di tapak projek.

Dan sehingga kini, terdapat 43 orang warga Felda mula bekerja di tapak projek.

“Bagi meningkatkan lagi produktiviti dan pendapatan peneroka melalui program PPP, Felda juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pertanian pintar (smart farming).

“Bagi tujuan ini, Felda menandatangani memorandum of understanding (MoU) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Universiti Putra Malaysia untuk membangunkan teknologi yang bersesuaian seperti teknologi internet of things (IoT) dan drone.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.