- Iklan -
Berita

Amanah putuskan tolak kerjasama dengan ‘kleptokrat’ Najib

Keputusan ini memberikan tamparan hebat kepada usaha Anwar untuk menjadi perdana menteri melalui pembelotan ahli Parlimen.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Amanah ketika hadir mengadap Yang di Pertuan Agong pada Februari lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang. Gambar: Facebook.
Ahli Parlimen Amanah ketika hadir mengadap Yang di Pertuan Agong pada Februari lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang. Gambar: Facebook.

Parti terkecil dalam Pakatan Harapan (PH), Amanah memutuskan untuk menolak sebarang kerjasama dengan pemimpin-pemimpin Umno terkait rasuah, satu keputusan yang dilihat akan menggagalkan rancangan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Keputusan dicapai parti yang mempunyai 11 ahli Parlimen itu dalam satu program permukiman di Kuala Lumpur hujung minggu lalu yang dihadiri pemimpin-pemimpin tertinggi Amanah.

“Kita menolak untuk bekerjasama dengan ‘kleptokrat’ dan ‘penyamun’,” kata seorang pemimpin yang menghadiri program permukiman itu kepada MalaysiaNow.

“Walaupun kita masih menyokong usaha Anwar untuk menggembalikan mandat rakyat pada PRU14 yang mengundi PH, kita tidak boleh bekerjasama dengan pemimpin Umno yang disabitkan bersalah kerana rasuah, atau sedang berdepan dengan tuduhan rasuah,” katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang sudah didapati bersalah atas pertuduhan rasuah oleh mahkamah dan pemimpin-pemimpin Umno yang sedang dibicarakan kerana rasuah.

MalaysiaNow mendedahkan pada Oktober, Najib bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menulis surat kepada Yang di Pertuan Agong menyokong Anwar menjadi perdana menteri sekaligus menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Sehingga kini, Anwar, Najib dan Zahid tidak pernah menafikan berhubung pendedahan ini.

“Kita menolak untuk bekerjasama dengan ‘kleptokrat’ dan ‘penyamun’,” kata seorang pemimpin yang menghadiri program permukiman itu kepada MalaysiaNow.

Walaupun Anwar tidak pernah mengumumkan secara rasmi bekerjasama dengan Najib, PKR secara terbuka memperlihatkan sokongan apabila menggunakan perkataan kesat terhadap seorang ahli Parlimennya yang memprotes dengan meninggalkan Dewan Rakyat ketika bekas perdana menteri disabitkan bersalah kerana rasuah itu memberikan ucapan.

Seorang lagi pemimpin yang menghadiri program permukiman itu berkata, walaupun terdapat pemimpin Amanah yang mencadangkan kerjasama dengan Najib dan pemimpin Umno lain yang didakwa kerana rasuah hanya sementara bagi memastikan Anwar menjadi perdana menteri, majoriti yang hadir menolaknya.

“Kita tumbangkan Barisan Nasional pada PRU14 kerana skandal kleptokrat 1MDB Najib. Macam mana kita nak kerjasama dengan dia?

“Kalau PKR nak kerjasama dengan Najib, itu hak mereka, tetapi Amanah begitu juga dengan DAP, jelas menolak ‘kleptokrat’ dan ‘penyamun’,” kata pemimpin Amanah itu dengan syarat tidak dinamakan.

Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang mengatakan partinya akan bekerjasama dengan pemimpin Umno terpalit rasuah untuk menumbangkan kerajaan PN.

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada pihak luar DAP yang berhak untuk berbuat sedemikian.

“Perkara ini sudah dijawab dan pendirian DAP sudah dinyatakan dengan jelas, yang terakhir adalah kenyataan saya kepada akhbar di Kota Kinabalu”.

Sewaktu berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Lim yang juga bekas menteri kewangan mengatakan, DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno, selagi di bawah pimpinan presiden Zahid dan bekas presiden, Najib.

Dalam ucapan membahaskan Belanjawan 2021 pada Isnin, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dengan jelas mengatakan partinya tidak akan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin terpalit rasuah untuk membentuk kerajaan.

“Amanah ingin menekankan di sini, sekiranya berlaku pertukaran kerajaan yang penting Amanah menjunjung tinggi integriti. Amanah bersama dengan mereka yang mahu membuat reformasi.

“Semangat reformasi yang ditiupkan bersama dengan kita. Tapi Amanah tidak setuju sekiranya dalam perjalanan ini kita mengambil perompak dan penyamun bersama dengan kita. Itu tidak boleh,” kata ahli Parlimen Pulai itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.