- Iklan -
Berita

Pandemik Covid-19 sebabkan murid prasekolah mungkin buta huruf sebelum masuk alam persekolahan

Proses buta huruf itu berlaku secara perlahan mengambil kira sebahagian murid sudah didedahkan dengan sedikit pengetahuan asas sebelum sekolah ditutup.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Sesi persekolah ,urid prasekolah, Tahun Satu dan Dua bermula hari ini.
Sesi persekolah ,urid prasekolah, Tahun Satu dan Dua bermula hari ini.

Penutupan sekolah di seluruh negara akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberikan kesan besar kepada kanak-kanak prasekolah apabila mereka diramalkan tidak berupaya membaca, menulis dan mengira sebelum masuk ke alam persekolahan.

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM) Eveleen Ling berkata proses buta huruf itu berlaku secara perlahan mengambil kira sebahagian murid sudah didedahkan dengan sedikit pengetahuan asas sebelum sekolah ditutup.

Katanya, guru-guru di sekolah rendah perlu bekerja lebih keras dan memberikan belas kasihan sewaktu murid-murid memasuki darjah satu tidak lama lagi.

“Mereka mesti mengambil beberapa langkah ke belakang bagi memastikan anak-anak ini berupaya mengikuti pembelajaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ling berkata, dalam pendidikan awal kanak-kanak, tempoh tiga bulan pertama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada Mac adalah peringkat penyesuaian diri seperti hadir ke sekolah dan mematuhi jadual harian.

Disebabkan sektor pendidikan di seluruh ditutup hingga hujung tahun bagi memutuskan rantaian Covid-19, tiada apa yang dapat dipelajari kanak-kanak prasekolah pada tahun ini, katanya.

“Mereka mesti mengambil beberapa langkah ke belakang bagi memastikan anak-anak ini berupaya mengikuti pembelajaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kemiskinan, ibu bapa buta huruf parahkan keadaan

Ling menerangkan, meskipun sekolah menjalankan kelas dan sesi pembelajaran dalam talian, mereka masih bergantung kepada keupayaan ibu bapa dan penjaga untuk memantau perkembangan murid sepanjang pembelajaran di rumah berlangsung.

Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada krisis buta huruf tersebut apabila terdapat sebahagian ibu bapa murid prasekolah tidak boleh membaca dan mengira menyebabkan mereka tidak mampu membantu murid dalam sesi pembelajaran di rumah.

Tambahan pula katanya, sebilangan murid tidak berupaya mengikuti sesi pembelajaran selari bersama rakan-rakan kerana tidak mempunyai akses kepada internet dan alat pembelajaran.

Bagaimanapun, menurut Ling, media boleh memainkan peranan membantu mengatasi permasalahan tersebut melalui siaran penceritaan (story telling) dan pemahaman silibus di radio dan televisyen.

Pada Ogos, Bank Dunia dilaporkan berkata, sejak sebelum Covid-19 melanda, pendidikan di beberapa negara sudah pun berdepan cabaran pembelajaran kerana bergelut dengan kemiskinan dan jurang ekonomi yang ketara.

Ini menyebabkan ketidaksamaan pembelajaran (learning inequalities) menjadi tumpuan utama dengan beberapa faktor, termasuk perbezaan akses kepada pembelajaran, jarak jauh antara guru dan pelajar serta akses kepada alatan pembelajaran.

“Dengan penutupan sekolah, ia memberi kesan kepada golongan yang sudah sedia terpinggir, termasuk pelajar daripada latar belakang sosio ekonomi yang tidak bernasib baik, kurang upaya dan kumpulan minoriti,” kata Bank Dunia dalam kenyataan pada Ogos.

Sementara Pisa (Programme for International Student Assessment) pula melaporkan perkembangan pengetahuan kanak-kanak miskin berada setahun di belakang rakan-rakan sebaya mereka.

Manakala, bagi kanak-kanak termiskin berada 2.5 tahun di belakang rakan sebaya.

Seorang ibu Norhashimah Muhd Muneer, 29, meluahkan kebimbangan anaknya tidak mampu membaca dan mengira secara asas sebelum memulakan persekolahan tahun hadapan disebabkan penutupan sekolah berulang kali sejak Mac lalu.

Katanya, dia dan suami tidak sempat meluangkan masa untuk membantu anak lelaki mereka yang berusia enam tahun membuat kerja rumah dan belajar kerana faktor kerja.

Menurut Norhashimah, hampir setiap hari beliau akan menghantar anaknya ke rumah pengasuh di Presint 11, Putrajaya sehingga habis waktu kerja.

“Saya tak boleh harapkan pengasuh untuk ajar dan pantau anak saya kerana dia mempunyai tiga orang anak yang memerlukan perhatian dan pantauan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow sambil menambah anaknya masih belum menguasai fungsi huruf vokal a, e, i, o, u dengan baik.

Ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Teo Kok Seong bagaimanapun berkata kemahiran asas membaca dan mengira bukanlah matlamat utama di peringkat prasekolah seperti yang diandaikan ramai pihak.

Katanya, tadika sepatutnya menjadi tempat pemupukan awal tentang kemahiran sosial dan emosi anak-anak seperti belajar bekerjasama, berinteraksi dan berkomunikasi sesama mereka dalam kemahiran sosial.

Katanya, untuk pemupukan kemahiran emosi, anak-anak diasuh untuk memahami, mengalami, menyatakan dan mengurus emosi.

“Tadika bukan tempatnya untuk menyampaikan kemahiran belajar. Ini tugas sekolah. Pada zaman dahulu, dengan tiadanya tadika pun, anak-anak kita terus berjaya dalam pelajaran apabila ke darjah satu, selain menjadi anak-anak yang berakhlak mulia.

“Oleh itu, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang dengan amaran daripada pengusaha dan pendidik tadika,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya lagi, ibu bapa sebenarnya sudah pun memupuk dua kemahiran tersebut (sosial dan emosi) di rumah secara tidak langsung.

Katanya, menghantar anak-anak ke tadika dan prasekolah menjadikan pendidikan itu lebih sistematik melalui kegiatan yang lebih teratur, mengikut kurikulum dibangunkan.

“Apabila di darjah satu, barulah kemahiran belajar itu diajar secara sistematik oleh guru terlatih.”