- Iklan -
Berita

Perkeso terima 388 aduan salah guna subsidi upah hampir RM20 juta, kata menteri

Tindakan menuntut kembali bayaran dana PSU yang disalah guna oleh majikan kini giat dilakukan.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Siasatan Perkeso terhadap majikan yang salah guna Program Subsidi Upah dilakukan selepas mendapat aduan daripada pekerja.
Siasatan Perkeso terhadap majikan yang salah guna Program Subsidi Upah dilakukan selepas mendapat aduan daripada pekerja.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima 388 aduan daripada pekerja membabitkan salah guna Program Subsidi Upah (PSU) oleh majikan membabitkan dana hampir RM20 juta, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Saravanan berkata, daripada jumlah keseluruhan aduan 388 kes itu, 232 dalam proses inkuiri bagi melengkapkan maklumat aduan bagi diambil tindakan selanjutnya.

Katanya, sehingga 11 November lalu, Perkeso sudah kenal pasti 156 kes tuntutan palsu dan salah guna PSU dan tindakan menuntut kembali bayaran dana yang disalah guna oleh majikan kini giat dilakukan.

Menurut Saravanan, Perkeso akan menggantung pembayaran kepada majikan yang disyaki membuat tuntutan palsu sehingga siasatan terhadap aduan terbabit selesai dijalankan.

“Dalam menangani masalah tuntutan palsu ini, Perkeso mengambil tindakan ke atas sebahagian majikan yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Perkeso juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menyiasat kes tuntutan palsu dan penyalahgunaan PSU.

Sehingga kini katanya, SPRM sudah membuka lima kertas siasatan termasuk membabitkan satu tangkapan di Kedah, pada 6 Oktober 2020.

Menurut Saravanan, Perkeso akan menggantung pembayaran kepada majikan yang disyaki membuat tuntutan palsu sehingga siasatan terhadap aduan terbabit selesai dijalankan.

Saravanan menjawab pertanyaan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) yang meminta menteri sumber manusia menyatakan bilangan syarikat yang menerima bantuan subsidi upah dan terpaksa gulung tikar dan bilangan penutupan perniagaan PKS dan kemuflisan individu akibat Covid-19.

Katanya, Perkeso juga sudah mengenal pasti dan menyenarai hitam 5,537 majikan yang melanggar syarat permohonan bantuan di bawah PSU termasuk pemberhentian pekerja dan tidak membayar caruman.

Sehubungan itu katanya, Perkeso akan menyenaraikan majikan yang menerima bantuan di bawah Pakej Bantuan Prihatin PKS di laman sesawang rasminya sebagai rujukan pekerja.

Berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2,713 syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia terpaksa menutup perniagaan sepanjang 1 Mac hingga 30 Oktober 2020 akibat Covid-19.