- Iklan -
Berita

Tiada keperluan wujud akta baru persenda isu agama, kaum, kata menteri

Individu sengaja atau cubaan menghina dan memainkan isu perkauman dan agama boleh disiasat dan didakwa di bawah tiga akta berbeza.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Udang-undang berkaitan sensitiviti kaum dan agama dilihat masih mencukupi.
Udang-undang berkaitan sensitiviti kaum dan agama dilihat masih mencukupi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk melaksanakan undang-undang baru terhadap individu yang menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama demi kepentingan-kepentingan tertentu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Ismail Mohamed Said berkata ia disebabkan akta dan undang-undang sedia ada sudah merangkumi serta mencukupi bagi mereka yang cuba mewujudkan sebarang isu khususnya berkaitan agama dan kaum.

Katanya, bagi individu yang sengaja atau cubaan menghina dan memainkan isu perkauman dan agama, mereka boleh disiasat dan didakwa di bawah tiga akta berbeza yang dilihat lebih berkesan dan mampu memberi pengajaran kepada mereka yang melakukannya.

“Kementerian Dalam Negeri akan sentiasa bertindak tegas melalui polis bagi melakukan tangkapan dan dakwaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan menghina, mempersendakan atau memainkan isu-isu agama berdasarkan peruntukan undang-undang sedia seperti Akta Hasutan 1948 dan kanun keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ketika ini Kementerian Dalam Negeri berpandangan undang-undang sedia ada adalah mencukupi bagi menyedarkan pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan-kesalahan seperti ini. Walau bagaimanapun KDN dari masa ke semasa sentiasa mengkaji perundangan tersebut untuk ditambah baik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, bagi individu yang sengaja atau cubaan menghina dan memainkan isu perkauman dan agama, mereka boleh disiasat dan didakwa di bawah tiga akta berbeza yang dilihat lebih berkesan dan mampu memberi pengajaran kepada mereka yang melakukannya.

Ramli Mohd Nor (BN- Cameron Highlands) ingin mengetahui jika Kerajaan berhasrat untuk meminda sebarang akta atau peraturan sedia ada kepada hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama demi untuk kepentingan-kepentingan tertentu.

Menurut Ismail, PDRM juga sentiasa melakukan pemantauan penyebaran maklumat dan akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat elemen melibatkan sensitiviti kaum dan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keharmonian rakyat jika tidak dibendung.

Berhubung pandangan kerajaan untuk mewujudkan kembali Akta Berita Tidak Benar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) namun dimansuhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Ismail tetap berpendirian tiada keperluan untuk mewujudkan akta baru.

Bagaimanapun, kajian lebih teliti akan dilakukan terhadap akta-akta sedia ada bagi memperkukuhkan lagi agar ia dapat memberi pengajaran sepenuhnya kepada rakyat untuk tidak mewujudkan sensitiviti kaum dan agama di negara ini

“Memang betul pada asalnya Kerajaan PH untuk mewujudkan Akta Kementerian Agama dan Kaum namun begitu melalui Mesyuarat Kabinet pada 30 Januari 2019 kerajaan ketika itu putuskan perkara dan elemen-elemen nak disebut di bawah Akta Kementerian Agama dan Kaum itu diserapkan kepada akta-akta sedia ada seperti Akta Hasutan dan kanun keseksaan.

“Jadi, setakat ini, pihak Kementerian Dalam Negeri akan sentiasa mendengar pandangan dan akan mengambil tindakan untuk meneliti agar akta sedia ada itu kita dapat perkukuhkan.”