Penularan wabak Covid-19 telah membuka mata usahawan desa dan luar bandar untuk mengunakan teknologi kepintaran buatan (AI) dan platform e-Dagang bagi mempromosi, memasarkan dan menjual produk dihasilkan mereka ke pasaran lebih luas.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad berkata disebabkan Covid-19, ia telah berjaya membuka mata usahawan dan pembeli untuk menggunakan kedua-dua platform itu dalam menjalankan urus niaga mereka dari bandar mahu pun luar bandar.
Katanya jumlah urus niaga menggunakan platform e-Dagang dalam kalangan usahawan luar bandar menunjukkan peningkatan sebanyak 39% pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.
“Sebagai contoh pada 11 November lalu, kita berjaya membuat jualan RM42,000 sehari dan semua produk ini adalah dihasilkan oleh usahawan luar bandar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Shahidan Kassim (BN-Arau) meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan adakah platform e-Dagang digunakan sepenuhnya oleh usahawan luar bandar dalam memasarkan produk mereka dan berapa jumlah yang telah mendaftar hingga September 2020 serta apakah usaha yang dibuat untuk mempertingkatkan jumlah pengguna e-Dagang.
Mengulas lanjut, Abd Latiff berkata beliau gembira dengan kerjasama diberikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam membantu usahawan luar bandar mempromosi, memasarkan dan menjual produk dihasilkan mereka menerusi penggunaan platform e-Dagang.
Sehubungan itu, katanya KPLB akan memanfaat 191 Pusat Komuniti Desa yang kini menempatkan “desa mall” secara luar talian untuk dimanfaatkan oleh usahawan luar bandar memasarkan produk mereka menggunakan platform e-Dagang dengan kerjasama KKMM.