- Iklan -
Berita

Lebih 60,000 mahasiswa kekal di kampus sepanjang tempoh PKPB, kata menteri

Jumlah itu melibatkan penuntut universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Masalah capaian internet antara pertimbangan dalam membenarkan mahasiswa berada di kampus. Gambar: Bernama
Masalah capaian internet antara pertimbangan dalam membenarkan mahasiswa berada di kampus. Gambar: Bernama

Sebanyak 50,889 penuntut universiti awam, politeknik dan kolej komuniti atau 7.9% mengambil keputusan untuk terus kekal di kampus dari tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 11 November lalu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Mansor Othman berkata 11,3297 pelajar institut pengajian tinggi swasta juga berada di dalam kampus selepas penangguhan pendaftaran pelajar sesi 2020/2021 secara bersemuka.

Katanya majoriti pelajar masih berada di rumah selepas kementerian meluluskan agar sesi pendaftaran serta kemasukan pelajar baru dan sedia ada yang dilaksanakan secara bersemuka pada bulan ini ditangguhkan berikutan berlakunya peningkatan Covid-19 secara mendadak.

“Ini selaras perintah PKPB yang dikuatkuasakan oleh kerajaan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun begitu kementerian peka dan prihatin memberi pertimbangan khas yang mempunyai keperluan bagi terus kekal berada dalam kampus.

“Antara pelajar yang diberikan pertimbangan adalah mereka yang memerlukan kemudahan teknikal khususnya seperti fasiliti makmal serta pelajar yang memerlukan persekitaran yang lebih kondusif atau mempunyai masalah capaian internet untuk meneruskan pembelajaran di dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) ingin mengetahui berapa jumlah sebenar pelajar IPTA dan IPTS yang masih berada di kampus dan juga yang berada di rumah selepas pengumuman Penangguhan Kemasukan Pelajar ke Kampus sesi 2020/2021 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Mansor memaklumkan pelbagai cara dan inisiatif yang dilaksanakan pihak kementerian bagi memastikan pembelajaran secara atas talian dapat dilaksanakan.

“Kementerian sentiasa prihatin terhadap IPT khususnya di luar bandar yang sukar untuk mendapat akses capaian internet bagi mengikuti sesi PdP dalam talian. Antara respon strategik kementerian untuk atasi perkara itu, menyalurkan maklumat kepada 871 lokasi kemudahan pusat internet di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Dan seterusnya bagi pelajar keluarga B40 universiti awam turut mendapat pelan data capaian internet bagi pelajar-pelajar ini seterusnya menyediakan bantuan pendidikan peranti kepada lebih 8956 pelajar di kalangan keluarga B40 dan juga memberikan bantuan tunai sebanyak RM50 secara terus kepada pelajar baharu sesi akademik 2020/2021.”