- Iklan -
Berita

Umno tiada pilihan selain bekerjasama dengan Bersatu, kata setiausaha agung BN

PAS bertegas bahawa Umno mesti turut menjadi rakan sekutu dengan Bersatu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa. Gambar: Bernama

Umno sudah tiada pilihan selain bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya mahu terus bersama-sama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN), kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa.

Menteri wilayah persekutuan itu berkata, ini kerana PAS bertegas bahawa Umno mesti turut menjadi rakan sekutu dengan Bersatu.

“Dalam kajian kita, Umno dan PAS ada kekuatan sendiri dan memang boleh menang (dalam PRU akan datang).

“Tapi tanya PAS, adakah PAS boleh menerima idea hanya Umno dan PAS dan tinggalkan Bersatu?” kata ahli Parlimen Ketereh itu dalam wawancara bersama Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan malam tadi.

“Pilihan ini tidak wujud. PAS berpegang pada dasar Umno, PAS dan Bersatu hendaklah bersama.”

Menurut Annuar, pendirian PAS ini disampaikan semasa mesyuarat MN Rabu lalu.

Pada PRU14 lalu, pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan gabungan dipimpin Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu berjaya merampas Putrajaya.

Ini menyebabkan kedua-dua parti Melayu yang sudah bermusuh sekian lama itu berbincang dan bekerjasama.

“Dalam kajian kita, Umno dan PAS ada kekuatan sendiri dan memang boleh menang (dalam PRU akan datang).

Kerjasama antara Umno dan PAS berjaya membuahkan kemenangan di beberapa Pilihan Raya Kecil selepas PRU14.

Akhirnya, Umno dan memeterai kerjasama dalam MN pada September 2019.

Dalam wawancara malam tadi Annuar mengatakan naratif Umno tidak mendapat layanan dan penghormatan sewajarnya sebagai parti terbesar dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah rekaan semata-mata.

“Itu cerita rekaan…Separuh daripada Kabinet adalah (daripada) BN…Apa benda yang kita buat dalam kerajaan kita boleh buat, dan kita boleh ambil tanggungjawab.

“Tapi mengapa nak reka cerita kita tak dilayan dengan baik?” soalnya.

Annuar berkata, Umno sudah bersetuju menerima struktur Kabinet ditubuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menyertai kerajaan pada Mac.

Beliau yang juga setiausaha agung MN turut menyifatkan Umno terperangkap dalam “superiority complex”, dan terlupa bahawa parti itu disingkirkan pada PRU14 lalu.

Katanya, keputusan untuk bekerjasama dengan Bersatu adalah keputusan bersama Umno, dalam usaha untuk mengalahkan presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.

Berhubung jawatan timbalan perdana menteri, Annuar berkata Umno harus jelas sama ada tuntutan itu dibuat mewakili parti atau untuk kepentingan individu tertentu.

“Soalnya, apakah Umno mahu Muhyiddin mungkir janji untuk tidak melantik pemimpin yang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah dalam kerajaan, atau apakah ia mahu mengabaikan pendirian presiden Ahmad Zahid Hamidi untuk membersihkan namanya di mahkamah.

“Kalau tak mahu semua itu, bagi tahulah demikian,” katanya.