Dr Mahathir Mohamad hari ini mengatakan Presiden PKR Anwar Ibrahim masih tidak dapat menjadi perdana menteri walaupun mengenepikannya.
Bekas perdana menteri itu berkata, kenyataan Anwar sebelum ini yang mengatakan beliau mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” adalah tidak benar.
“Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat. Jelas setelah ketepikan saya pun Anwar tidak menang,” kata pengerusi Pejuang itu dalam satu tulisan di blognya Chedet.cc hari ini.
“Saya dan kumpulan saya ditolak oleh Anwar kerana dia sudah dapat jumlah sokongan yang mencukupi.
“Tetapi kita semua tahu bahawa Anwar masih tidak dapat jadi perdana menteri. Kenyataan Anwar bahawa dia mempunyai cukup bilang didapati tidak benar.”
Anwar, yang merupakan ahli Parlimen Port Dickson, sebelum ini mengatakan beliau meminggirkan Mahathir kerana tidak dapat menerima “konspirasi dan pengkhianatan” yang berulang.
Anwar berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari tahun 1993 hingga 1998 ketika Mahathir menjadi perdana menteri kali pertama dahulu.
“Saya dan kumpulan saya ditolak oleh Anwar kerana dia sudah dapat jumlah sokongan yang mencukupi.
Mahathir turut mempersoalkan apakah beliau juga yang menghalang Anwar ketika presiden PKR itu gagal menubuhkan kerajaan melalui pembelotan ahli Parlimen pada 16 September 2008 bagi menggulingkan bekas perdana menteri Abdullah Badawi.
Mahathir berkata, ramai yang percaya Anwar tidak dapat jadi perdana menteri kerana beliau yang menghalang.
“Benar dahulu saya berpendapat bahawa kerana sebab tertentu dia hilang kelayakan untuk menjadi perdana menteri Malaysia.
“Tetapi apabila Najib (Razak) menjadi kleptokrat, saya sanggup bekerjasama dengan Anwar untuk jatuhkan Najib,” katanya.
Menurut Mahathir, beliau tidak pernah menghalang cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri selepas meletakkan jawatan.
“Tetapi belum pun sampai masanya konco-konco Anwar mendesak supaya saya letak jawatan.”