- Iklan -
Berita

Tempoh 48 jam bebas cukai di tiga pulau kekal, kata menteri

Langkah menetapkan tempoh 48 jam dibuat bagi membolehkan pelancong asing dan tempatan memberikan pendapatan kepada ekonomi tempatan.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pulau Pangkor, Perak. Gambar: Facebook
Pulau Pangkor, Perak. Gambar: Facebook

Kerajaan tidak dapat mempertimbangkan permohonan untuk memendekkan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor, Perak dari 48 jam ke 24 jam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, tempoh itu ditetapkan bagi membolehkan pelancong mempunyai lebih banyak masa di pulau bebas cukai.

Tempoh 48 jam itu, katanya, ditetapkan bagi memberi faedah ekonomi yang lebih kepada pengusaha termasuk restoran, hotel dan tempat penginapan lain.

“Layanan sama perlu diberi kepada tiga pulau bebas cukai lain iaitu Labuan, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi jika kelulusan itu diberikan kepada Pulau Pangkor.

“Jika tempoh bebas cukai dipendekkan kepada 24 jam, kesan ekonomi tidak besar berbanding pelancong tinggal dua hari atau 48 jam di Pulau Pangkor,” katanya.

Mustapa menjawab soalan Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) mengenai status permohonan memendekkan tempoh bebas cukai dan projek naik taraf jeti penumpang Pulau Pangkor di Dewan Rakyat, hari ini.

“Layanan sama perlu diberi kepada tiga pulau bebas cukai lain iaitu Labuan, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi jika kelulusan itu diberikan kepada Pulau Pangkor.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata langkah menetapkan tempoh 48 jam dibuat bagi membolehkan pelancong asing dan tempatan meluangkan masa lebih lama di pulau bebas cukai sekali gus memberikan pendapatan kepada premis perniagaan lain termasuk restoran, hotel dan sebagainya di Pulau Pangkor.

Beliau berkata kerajaan percaya jika tempoh 48 jam dipendekkan kepada hanya 24 jam maka kesan limpahan ekonomi tidak memberikan impak yang besar kepada kawasan pulau bebas cukai terbabit.

“Sekiranya tempoh 48 jam dipendekkan kepada 24 jam, ia akan memendekkan tempoh masa pelancong berada di pulau bebas cukai dan sekaligus boleh mengurangkan kesan limpahan ekonomi setempat dan memberi kesan kepada industri pelancongan pulau bebas cukai secara keseluruhannya.”

Sementara itu katanya, kerajaan memperuntukan RM15 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi mereka bentuk dan kerja awalan bagi menaik taraf, membesar dan membangunkan semula jeti Pulau Bebas Cukai Pangkor, mulai tahun depan.