- Iklan -
Berita

Wisma Putra sedia bantu polis bawa balik ahli perniagaan dalam buruan Jho Low

Jho Low bukan saja diburu pihak berkuasa Malaysia malah Amerika Syarikat dan Singapura juga sedang mencarinya.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP

Kementerian luar negeri sedia membantu pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui lokasi sebenar ahli perniagaan itu.

Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein berkata tiada alasan untuk Wisma Putra tidak membantu membawa pulang individu terbabit supaya dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Mengenai Jho Low, kita tidak tahu sama ada benar dia ada di China. Jika pihak polis memaklumkan kepada Wisma Putra kedudukan sebenar dan di mana dia berada, tidak ada sebab Wisma Putra tak boleh membantu.

“Wisma Putra sedia membantu untuk membawa dia pulang menghadap pengadilan,” katanya ketika menggulung Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Hishammudin menjawab pencelahan RSN Rayer (DAP-Jelutong) sama ada Wisma Putra boleh membantu mengesan dan membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan itu bagi membantu siasatan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata Jho Low tidak perlu takut kembali ke tanah air jika dia beranggapan dirinya tidak bersalah dalam kes penyelewengan dana 1MDB.

“Wisma Putra sedia membantu untuk membawa dia pulang menghadap pengadilan,” katanya ketika menggulung Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Jika dia yakin dirinya tak bersalah, saya mempelawa dia pulang bagi membolehkannya membela diri. Jangan terus lari dan menyembunyikan diri di luar negara,” kata Abdul Hamid seperti dilaporkan.

Malah, Abdul Hamid juga dilapor menegaskan, beliau boleh mengaturkan pertemuan Jho Low dengan Jabatan Peguam Negara, selain memberi jaminan keselamatan ke atas ahli perniagaan dalam buruan itu.

Abdul Hamid memaklumkan, bukan saja pihak berkuasa Malaysia yang “memburu” Jho Low tetapi juga Amerika Syarikat dan Singapura.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.