Presiden PKR Anwar Ibrahim akan dipanggil sebagai saksi dalam satu kes saman bekas pegawai penyelidiknya dalam perbicaraan yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Mac tahun depan.
Muhammed Yusoff Rawther mengemukakan saman terhadap setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador yang didakwa mencederakannya dalam satu kejadian di pejabat presiden PKR di Petaling Jaya.
Februari lalu, Farhash gagal untuk menggugurkan sebahagian daripada saman yang melibatkan Anwar.
Mahkamah juga menolak permintaan sama Setiausaha Akhbar Anwar Tunku Nashrul Tunku Abaidah, untuk mengenepikan sebahagian daripada saman yang difail Yusoff terhadapnya.
Satu laporan polis dibuat oleh Yusoff terhadap Anwar tahun lalu menyebabkan satu kertas siasatan dibuka atas dakwaan dirinya menjadi mangsa serangan seksual oleh pemimpin PKR itu pada Oktober 2018.
Jabatan Peguam Negara bagaimanapun berkata Anwar tidak akan didakwa kerana “kekurangan bukti”.
Dalam saman yang dikemukakan awal tahun ini, Yusoff, 27, mendakwa Farhash menyerangnnya di pejabat Anwar yang terletak di Bukit Gasing, Petaling Jaya, pada Mei 2019.
Disember tahun lalu, Yusoff bertindak mempersoalkan polis kerana siasatan dikatakan dilengah-lengahkan, dengan mengatakan tindakan sepatutnya sudah diambil selepas laporan perubatan kecederaan yang dialaminya dikeluarkan.
Laporan perubatan yang dilihat MalaysiaNow turut mengatakan Yusoff mengalami kecederaan dan koyakan pada bahagian bahu, dan memerlukan pembedahan dengan kos RM40,000.
Farhash bagaimanapun bertindak menafikan dakwaan terhadap dirinya dan sebaliknya bertindak mengemukakan saman balas terhadap Yusoff.
Awal tahun lalu, polis berkata satu kertas siasatan dibuka terhadap dakwaan serangan itu.
MalaysiaNow cuba mendapatkan maklumat terkini daripada polis dan juga peguam Yusoff, Haniff Khatri Abdulla.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.