- Iklan -
Berita

Sime Darby, Unicef lancar taman permainan inklusif untuk kanak-kanak

Unicef dan Sime Darby Property percaya amat penting untuk negara tidak membiarkan anak-anak OKU ke belakang dalam soal bermain.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Taman permainan mesra kanak-kanak OKU di bandar Elmina, Subang, Selangor.
Taman permainan mesra kanak-kanak OKU di bandar Elmina, Subang, Selangor.

Sime Darby Property secara rasmi melancarkan taman permainan kanak-kanak inklusif, sempena Hari Orang Kurang Upaya Sedunia yang turut disambut pada hari ini.

Taman permainan itu dibina di tengah-tengah bandar Elmina, sebuah penempatan baru di Subang, Selangor.

Pembukaan itu menandakan satu langkah ke hadapan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Sime Darby dalam usaha membina komuniti yang sepenuhnya melibatkan kanak-kanak kurang upaya (OKU).

Taman permainan ini direka dengan kerjasama kanak-kanak kurang upaya dan normal, keluarga mereka serta beberapa organisasi OKU terkemuka.

Pada 2017, Unicef mengeluarkan satu laporan bertajuk “Kanak-kanak Kurang Upaya di Malaysia”, yang mendedahkan mengenai kesedaraan awam yang rendah, kebanyakannya bersikap negatif dan sering mengecualikan kanak-kanak OKU.

Apabila pihak Unicef berkongsi hasil dapatan laporan itu dengan Sime Darby Property, mereka berikrar untuk menjadi “Wira Kebersamaan” bagi kanak-kanak kurang upaya.

Sime Darby ketika itu dalam proses membangunkan Bandar Elmina yang berkonsep kelestarian dan kebersamaan menyahut cabaran melibatkan kanak-kanak OKU sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan mereka.

Taman permainan ini direka dengan kerjasama kanak-kanak kurang upaya dan normal, keluarga mereka serta beberapa organisasi OKU terkemuka.

Hasilnya adalah taman permainan Elmina.

Ia merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang memberi akses tidak terhad kepada kanak-kanak normal mahupun OKU.

Salah satu hadiah terbaik kita dapat berikan kepada anak-anak kita adalah membenarkan mereka bermain, kebebasan untuk meneroka, menemui, bergerak dan bergembira.

Atas alasan itu, Unicef dan Sime Darby percaya adalah amat penting untuk negara tidak membiarkan anak-anak OKU ke belakang dalam soal bermain.

Tahun 2020 dan krisis Covid-19 memberi kita peluang untuk mengimpikan dunia yang lebih baik buat kanak-kanak OKU.

Tahun ini akan melabuhkan tirainya dan mengharapkan akan sebuah masa hadapan pasca Covid-19, dan Malaysia berpegang kepada komitmen Matlamat Pembangunan Mapan.

Prinsip utama matlamat itu adalah untuk memastikan tidak ada kanak-kanak yang ditinggalkan ke belakang.

Kebersamaan adalah hak untuk dinikmati oleh semua kanak-kanak tanpa mengira kekurangan, dan ia bukan satu keistimewaan untuk segelintir sahaja.