- Iklan -
Berita

Usaha perangi Covid-19 akan gagal jika krisis politik berterusan, kata penganalisis

Tanggapan krisis politik perlu diberikan perhatian utama berbanding masalah Covid-19 mula meresahkan rakyat negara ini.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dirakam pada 21 Oktober lalu, menunjukkan petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk Flat Pelangi Damansara di Jalan Surian selepas kawasan itu merekodkan 23 kes positif.
Gambar yang dirakam pada 21 Oktober lalu, menunjukkan petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk Flat Pelangi Damansara di Jalan Surian selepas kawasan itu merekodkan 23 kes positif.

Masalah kesihatan awam yang menyaksikan bilangan jangkitan kes baru Covid-19 yang tinggi setiap hari sehingga kembali mencecah empat angka berkemungkinan menjadi lebih parah sekiranya krisis politik berterusan, kata seorang penganalisis politik.

Azmi Hassan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, usaha memerangi pandemik yang sudah meragut 376 nyawa di negara kita terganggu disebabkan krisis politik.

“Contohnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mana faktor politik melampaui kepentingan kesihatan awam.

“Oleh kerana orang politik juga ada krisis, jadi krisis kesihatan awam tidak dapat ditangani dengan baik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Azmi berkata tanggapan krisis politik perlu diberikan perhatian utama berbanding masalah Covid-19 mula meresahkan rakyat negara ini dan rata-rata mereka dilihat semakin muak dengan sandiwara tidak berkesudahan.

Penularan jangkitan Covid-19 meningkat mendadak selepas PRN Sabah pada 26 September yang turut menjadi kebimbangan utama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung di seluruh negara 6 Oktober lalu.

Sementara Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, krisis politik tidak akan menemui penyelesaian selagi pertikaian mengenai keabsahan kerajaan PN tidak dimuktamadkan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata penurunan kadar R-naught atau nilai kebolehjangkitan wabak tersebut tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan peranan semua pihak.

Sebelum penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, terdapat kebimbangan “sabotaj” daripada beberapa ahli Parlimen yang sedang menjalani pertuduhan rasuah di mahkamah akan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang dan pilihan raya mengejut perlu diadakan pada musim pandemik.

Bagaimanapun, Rang Undang-undang Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar Khamis lepas dengan suara majoriti selepas usaha ahli Parlimen pembangkang mendapatkan undi belah bahagi tidak berjaya.

Sehingga semalam, Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi 11 kementerian dengan baki 16 kementerian masih menunggu giliran untuk dibahaskan.

Sementara Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, krisis politik tidak akan menemui penyelesaian selagi pertikaian mengenai keabsahan kerajaan PN tidak dimuktamadkan.

“Masalah yang kerajaan hadapi sekarang adalah bagaimana mereka boleh berikan tumpuan untuk isu ekonomi dan perangi Covid-19 ketika keabsahan kerajaan dipersoalkan setiap hari, kerajaan ini sah atau tidak sah?” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya berharap pembentangan Belanjawan 2021 kali ini akan menyelesaikannya. Kalau misal kata Belanjawan 2021 lulus, maka pihak pembangkang dan pihak lain hilang hak moral untuk mengatakan kerajaan tidak sah.”

Beliau berkata sekiranya Belanjawan 2021 tidak berjaya diluluskan, Muhyiddin selaku perdana menteri perlu mengadap Yang di Pertuan Agong dan meletakkan jawatan secara terhormat.

“Biarlah Agong dengan bidang kuasa yang ada menentukan apa yang sepatutnya dilakukan. Dari situ, dengan izin Tuhan, krisis politik selesai,” katanya.