- Iklan -
Berita

Imigresen nafi dakwaan tidak ambil tindakan pekerja asing bina penempatan haram

Imigresen menjalankan 371 operasi tahun lepas dengan 1,300 migran ditahan, manakala pada tahun ini lebih 120 operasi dilakukan dengan lebih 500 pendatang asing ditahan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing banyak menyumbang dalam sektor pembinaan di Malaysia.
Pekerja asing banyak menyumbang dalam sektor pembinaan di Malaysia.

Jabatan Imigresen menafikan dakwaan tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pendatang asing yang membina penempatan atau koloni setinggan di pinggiran bandar di Sabah.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan melakukan risikan dalam setiap operasi dilaksanakan, termasuk mengambil tindakan segera membanteras penempatan haram itu berdasarkan laporan diterima sama ada daripada orang awam atau agensi penguatkuasaan lain.

“Imigresen Sabah melaksanakan ‘Op Sapu’ iaitu operasi pemeriksaan dokumentasi dengan sasaran utama rumah setinggan, rumah kongsi, rumah sewa, rumah tumpangan, pengemis asing dan rumah ibadat.

“Pemeriksaan dokumen itu termasuk di kawasan kediaman bukan sahaja semasa wabak Covid-19 pada masa ini, malah operasi ini juga dilaksana pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya menjalankan 371 operasi tahun lepas dengan 1,300 migran ditahan, manakala pada tahun ini lebih 120 operasi dilakukan dengan lebih 500 pendatang asing ditahan.

Beliau berkata pihaknya sering menerima aduan berkaitan penempatan warga asing itu, namun apabila pemeriksaan dijalankan Imigresen mendapati tempat itu adalah kediaman pekerja asing.

“Sebagai contoh di kawasan Selangor, di Sungai Buloh, ada dakwaan terdapat penempatan haram migran di sana, namun sebenarnya ia kediaman pekerja industri (pembinaan).

“Berhubung dakwaan itu, Imigresen Sabah sentiasa melakukan pemantauan dan risikan di setiap pinggiran bandar berdasarkan laporan diterima daripada orang awam serta agensi kerajaan lain berhubung penempatan haram migran ini agar dapat dibanteras,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, pada awal tahun ini, pihaknya melaksanakan Op Sapu di kawasan setinggan Kampung Numbak dan Kampung Selamat Bahagia di kawasan pinggiran bandar di Kota Kinabalu, Sabah.

“Ratusan warga asing ditahan dengan pelbagai kesalahan imigresen dan tidak dinafikan penempatan setinggan warga asing ini memang wujud malah kebanyakan warga asing di penempatan berkenaan memiliki dokumen pelarian yang sah dan mereka berkahwin dengan warganegara,” katanya.

Beliau berkata Imigresen Sabah juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras penempatan migran di pinggiran bandar di seluruh negeri berkenaan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.