- Iklan -
Berita

Pemimpin tertinggi Umno bertemu, rancangan bekerjasama dengan PH Perak mungkin gagal

Umno diminta kekal teguh dengan prinsip ‘Tidak kepada DAP, Tidak kepada Anwar’.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Umno diminta kekal bersama PAS dan Bersatu di Perak. Gambar: AP
Umno diminta kekal bersama PAS dan Bersatu di Perak. Gambar: AP

Pemimpin tertinggi Umno dijangka menolak sebarang langkah bagi membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak, berikutan kekosongan jawatan selepas penyingkiran bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu Jumaat lepas.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, pembuat keputusan tertinggi parti itu sedang bermesyuarat malam ini beberapa jam selepas pertemuan yang serupa pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengenai kemelut di negeri Perak.

“Kerjasama dengan PH ditolak, walaupun cadangan itu datang daripada presiden parti,” kata satu sumber yang mengetahui tentang perbincangan tidak rasmi menjelang pertemuan malam ini.

Sumber itu mengatakan pemimpin tertinggi parti berkeras supaya Umno kekal teguh dengan prinsip “Tidak kepada DAP, Tidak kepada Anwar”, merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Kerajaan Perak kekal di bawah PN. Umno bersama Bersatu dan PAS,” tambah sumber itu.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini menyokong Anwar untuk menjatuhkan kerajaan PN berkata kerjasama dengan PH di Perak boleh dijadikan sebagai satu pilihan jika parti itu gagal mendapat sokongan PAS dan Bersatu.

PAS dan Bersatu mengkritik tindakan Umno yang mengusulkan undi percaya terhadap Faizal dan kedua-duanya mengancam untuk tidak terlibat dalam usaha membentuk kerajaan baru di Perak.

“Kerajaan Perak kekal di bawah PN. Umno bersama Bersatu dan PAS,” tambah sumber itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak didominasi 25 wakil rakyat Umno.

Jika PAS dan Bersatu yang memiliki lapan kerusi enggan memberikan sokongan mereka, Umno memerlukan lima lagi sokongan daripada ahli Dewan Udangan Negeri PH untuk membentuk kerajaan negeri.

DAP memiliki 16 kerusi, terbanyak dalam PH Perak, diikuti Amanah lima dan PKR tiga.

Gerakan dan bebas masing-masing memiliki satu kerusi.

Sementara itu, satu sumber memberitahu MalaysiaNow Umno mungkin meminta sokongan daripada lima Adun Amanah untuk berkuasa.

“Bagaimanapun ia tidak selari dengan slogan ‘Tidak kepada DAP, Tidak kepada Anwar’ kerana Amanah merupakan sebuah parti yang selari dengan ‘abang-abangnya’ dalam PH,” kata sumber Amanah Perak.

Cubaan MalaysiaNow bagi mendapatkan komen daripada Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi masih belum berjaya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.