- Iklan -
Berita

Sisi gelap bekerja dari rumah

Walaupun bekerja dari rumah dikatakan lebih mudah dan selesa, ia boleh menimbulkan masalah kepada mereka yang bergelut beralih kepada cara kerja secara dalam talian.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Bekerja dari rumah nampak mudah, tetapi ramai yang bergelut untuk melakukannya.
Bekerja dari rumah nampak mudah, tetapi ramai yang bergelut untuk melakukannya.

Walaupun bekerja dari rumah dalam tempoh Covid-19 memberi sedikit kelegaan terutama mengurangkan masa di atas jalan raya, penjimatan duit parkir dan belanja makan tengah hari, namun ia dilihat memberi kesan buruk lain termasuk tambahan bebanan kerja golongan profesional dalam pelbagai bidang untuk mengubah cara mereka bekerja berbanding kebiasaan.

Ia jelas memberi kesan terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan di mana pengajaran bersemuka di dalam kelas digantikan dengan pembelajaran secara dalam talian selepas lonjakan Covid-19 memaksa pelajar dan pengajar untuk berada di rumah.

Seorang pensyarah memberitahu MalaysiaNow, persediaan masa mengajar meningkat sekali ganda sejak sesi pembelajaran dalam talian dilaksanakan awal tahun lalu.

Zaini yang merupakan seorang pensyarah sebuah universti awam berkata kuliah secara dalam talian memerlukan lebih masa dan perancangan berbanding mengajar di dalam dewan kuliah.

Beliau berkata semua itu bergantung kepada subjek yang diajar, kadang-kala penyediaan bahan mengajar boleh mencecah hampir empat jam sedangkan kelas kuliah biasa sekadar memerlukan masa antara 30 minit hingga dua jam sahaja.

Walaupun selepas bahan mengajar di muat naik, sesi pembelajaran tidak selalu berjalan dengan lancar.

Seorang lagi pensyarah universiti awam yang mahu dikenali sebagai Hisham mengatakan kelas dalam talian bergantung sepenuhnya kepada sambungan internet yang baik.

“Sambungan internet sering kali bermasalah sehingga mengganggu sesi pengajaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini menyebabkan kelas lambat bermula, dan ada bahagian tertentu berulang-ulang kerana masalah audio.

“Kehadiran 100% turut sukar diperoleh kerana ada sesetengah pelajar tidak mengikuti kelas kerana masalah internet.”

Ia turut menyebabkan stres kepada mereka yang bergelut menggunakan teknologi.

“Bercakap mengenai penyediaan video, kami hanya mengikuti bengkel sehari, bagaimana untuk menyunting, tetapi bukan semua mampu mahir dalam masa yang singkat!” kata Hisham.

Bukan semua bahan pengajaran disampaikan menggunakan video atau persidangan maya.

Ada beberapa menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran atau LMS. Kadang-kala ia turut mendatangkan masalah kepada pensyarah.

“Kehadiran 100% turut sukar diperoleh kerana ada sesetengah pelajar tidak mengikuti kelas kerana masalah internet.”

“Kebiasaannya, pensyarah akan mencetak soalan kuiz dan memberikan kepada pelajar,” kata Hisham.

“Tetapi dengan menggunakan LMS, soalan dan jawapan perlu diprogramkan secara berasingan ke dalam sistem mengikut kriteria seperti jenis soalan.”

Masa yang lebih panjang diperlukan terutama membabitkan pensyarah yang tidak biasa dengan sistem ini.

Pensyarah di universiti swasta bagaimanapun tidak menghadapi kekangan melibatkan penggunaan perisian atau sistem yang digunakan dalam kelas dalam talian.

Namun, bagi mereka bebanan kerja bertambah sejak beralih ke dalam talian.

Salah satu isunya adalah keperluan sistem infrastruktur.

Selepas tugasan dan kuliah beralih kepada dalam talian, mereka perlu mencari jalan bagaimana peralihan itu boleh menjimatkan masa.

Ada sesetengah kursus seperti perbincangan, kuiz dan peperiksaan sukar untuk dilaksanakan secara dalam talian yang memaksa pensyarah tampil dengan penyelesaian dan alternatif, kata Chris yang mengajar di sebuah universiti swasta kepada MalaysiaNow.

Ia lebih menyukarkan pensyarah perubatan kerana perkara paling penting dalam melatih doktor dan kakitangan kesihatan lain kebiasaan melibatkan latihan amali.

Dr Farouk Musa yang mengajar di Monash University memberikan contoh, kelas anatomi.

“Mengajar subjek ini amat mencabar kerana pelajar tidak mempunyai specimen di hadapan mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Oleh itu, mereka tidak dapat merasai dengan deria sentuhan. Semuanya perlu dibayang dan memerlukan imaginasi, dan ia merupakan satu cabaran yang sukar untuk memahami anatomi.”

Farouk menyifatkan tahun akademik 2020 sebagai “tahun yang teruk”, dan menambah pensyarah terpaksa menerima hakikat hanya bertemu dengan pelajar secara dalam talian.

Akhirnya, apa yang berlaku merupakan perkara paling sukar buat pensyarah bekerja dari rumah.

“Elemen bersemuka adalah penting dalam mengajar, dan kuliah secara dalam talian dengan saiz kelas 100 hingga 200 pelajar, interaksi menjadi hambar,” kata Chris.

Zailani pula tanpa berselindung mengatakan “saya tidak pasti sama ada pelajar menumpukan perhatian kepada kelas dalam talian. Mengajar langsung tidak sama kerana pelajar tiada di depan anda.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.