Majlis Tanah Negara masih belum membincangkan secara terperinci berhubung penerokaan dan pengeluaran unsur nadir bumi (REE) di Kedah atau di tempat lain, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah.
Katanya, walaupun kerajaan sedang membangunkan kerangka prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), ia tidak bermaksud kerajaan sudah bersedia membenarkan aktiviti perlombongan terbabit dilakukan buat masa ini.
“Walaupun pengeluaran permit untuk penerokaan mineral terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, penetapan dan penentuan syarat akan dibentuk secara bersama membabitkan kerjasama antara agensi di peringkat pusat dan negeri bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum kelulusan diberikan.
“Untuk makluman, Majlis Mineral Negara (MNN) yang diaktifkan semula akan menilai SOP NR-REE ini dan akan dibincang bersama kerajaan negeri dan kementerian berkaitan.
“Mesyuarat pertama MNN dijangka diadakan pada penghujung bulan ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) tentang perincian kebenaran penerokaan REE di Kedah dan di tempat lain dan apakah syarat-syarat yang diperlukan.
Shamsul berkata, kerajaan sedang mengkaji dengan teliti bagi membangunkan SOP terhadap kebenaran penerokaan dan pengeluaran REE serta pembangunan unsur nadir bumi bukan radioaktif dalam memastikan perlombongan dijalankan secara mampan.
Katanya, SOP tersebut akan merangkumi keseluruhan aktiviti dalam rantaian nilai mineral dari perlombongan sehingga kepada pengurusan sisa dan penutupan lombong secara progresif dan proses pengilangan.
Menurut beliau, pematuhan SOP tersebut berpandukan kepada Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Penyiasatan Kaji Bumi 1974, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Penyelarasan Perindustrian 1974 dan Enakmen Mineral Negeri-Negeri.
“Mesyuarat pertama MNN dijangka diadakan pada penghujung bulan ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
“Pematuhan sepenuhnya SOP merupakan syarat utama sebelum memulakan perlombongan REE yang dikawal melalui Skim Pengendalian Melombong oleh GMG namun begitu itu tidak bermakna kerajaan sudah bersedia membenarkan perlombongan REE pada masa ini. Sebagai contoh, kerajaan tidak akan benarkan sebarang aktiviti REE khususnya di hutan simpan kekal tanpa sebarang penilaian.
“Ini bagi mengelakkan insiden pencemaran yang boleh jejaskan alam sekitar, sumber air dan kesihatan masyarakat dan juga kepentingan kepada negara dan rakyat. Mana-mana pihak lakukan perlombongan tanpa kelulusan, tidak teragak-agak ambil tindakan melalui akta dan perundangan.”
Sementara itu, menjawab soalan Fuziah berkenaan jika elemen REE mengandungi thorium, Shamsul berkata unsur itu yang ada padanya sekitar 0.2375 gram, sangat rendah dan dikategorikan sebagai bahan bukan radioaktif.
“Merujuk pada Pelesenan Tenaga Atom sekiranya bahan keaktifan tidak melebihi 1g bermakna dia dikecualikan dari Akta Pelesenan Tenaga Atom (Akta 304) dan dianggap bukan radio aktif. Oleh sebab itu, antara prasyarat yang ditetapkan hendaklah mematuhi LPTA berkaitan kadar keradioaktifan bahan tersebut.
“Kementerian dan kerajaan tidak keluarkan sebarang kelulusan di mana-mana negeri setakat ini khususnya di kawasan hutan simpan kekal. Tidak ada kelulusan diberi kepada mana-mana negeri setakat ini.”