- Iklan -
Berita

Saarani cukup majoriti dilantik sebagai MB, kata Zahid Hamidi

Sultan Nazrin Shah dijangka mengumumkan dalam masa terdekat.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai mempersembahkan nama calon parti itu untuk jawatan menteri besar Perak kepada Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai mempersembahkan nama calon parti itu untuk jawatan menteri besar Perak kepada Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta hari ini. Gambar: Bernama

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan, Saarani Mohammad memiliki majoriti cukup untuk dipilih sebagai menteri besar Perak yang baru.

Menurut Zahid Sultan Nazrin Shah akan mengumumkan siapa calon terpilih.

Beliau berkata demikian selepas mengadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh pagi tadi.

Ia secara tidak langsung mengesahkan parti itu mendapat sokongan daripada Bersatu dan PAS untuk mencalonkan  Saarani, sebagai menteri besar Perak.

“Ertinya kerjasama pembentukan kerajaan ini adalah antara Umno, Bersatu dan PAS,” katanya di luar istana.

Terdahulu Ahmad Zahid tiba di Istana Kinta untuk mengadap Sultan Nazrin Shah pada 10 pagi bertujuan mempersembahkan nama calon menteri besar yang baru.

Ia merupakan pertemuan kedua antara Zahid dengan Sultan Nazrin selepas Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu disingkirkan daripada jawatannya sebagai menteri besar pada 4 Disember lalu selepas satu usul undi percaya dibawa oleh Adun Umno.

Undian itu menyaksikan Faizal sekadar memperoleh 10 undi menyokong berbanding 48 menolak dan seorang berkecuali atau undi rosak.

Malam tadi Umno memutuskan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang melibatkan parti itu, PAS dan Bersatu dipertahankan.

Sementara itu, Bersatu berkata biarpun kesal dengan tindakan Umno menyingkirkan Faizal, semua keputusan yang bakal diambil parti itu berkaitan penubuhan kerajaan negeri Perak yang baru akan mengambil kira ketetapan bersama rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) terutama PAS yang terlibat secara langsung.