- Iklan -
Berita

Saya tak terikat dengan tindakan speaker DUN Perak, kata Azhar Harun

Azhar berkata beliau tidak tahu peraturan mesyuarat mana dan di bawah kuasa apa speaker DUn Perak menaikkan usul undi percaya ke nombor satu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Gambar: Bernama
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Gambar: Bernama

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menegaskan beliau tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dibuat pihak lain termasuk Speaker di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berhubung usul undi percaya atau usul undi tidak percaya.

Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa menentukan giliran sesuatu usul kerana ia dalam bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab dan sebagai speaker Dewan Rakyat beliau terikat dengan peraturan yang juga menjadi konvensyen.

“Pertamanya saya tidak tahu bagaimana usul percaya (kepada menteri besar) di DUN Perak ditangani oleh speaker. Saya tidak tahu peraturan mesyuarat mana dan di bawah kuasa apa ia dinaikkan ke nombor satu. Saya tidak tahu.

“Kedua, saya tidak terikat dengan apa-apa tindakan speaker lain lebih-lebih lagi speaker DUN kerana saya kurang pasti bagaimana mereka melakukan perkara itu dan saya kurang pasti mengenai peraturan mesyuarat digunakan di setiap DUN.

“Ketiga, keputusan saya selama ini yang tidak menaikkan notis usul yang dicadangkan itu di Dewan Rakyat ini, saya bukan buat sesuka hati,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Persoalan ini dibangkitkan RSN Rayer (DAP-Jelutong) agar Azhar mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh speaker DUN Perak membenarkan usul percaya dibuat terhadap menteri besar.

Sehubungan itu dengan mengambil contoh apa yang berlaku di DUN Perak itu, Rayer bertanya sama ada pembentangan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri juga boleh dilakukan di Dewan Rakyat.

Rayer berkata, usul sudah dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Azhar pernah memaklumkan sebarang usul dibuat kepada Dewan Rakyat mengikut peraturan mesyuarat termasuk usul undi tidak percaya, akan dikendalikan mengikut undang-undang sedia ada.

“Perlu saya tegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang kita amalkan.

“Malah, sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang menteri.

“Adapun saya ingin tekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada saya ataupun setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan saya kendalikan mengikut undang-undang sedia-ada,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Oktober.