Kementerian Luar Negeri mengesahkan sebanyak 2,742 warganegara Malaysia ditahan dan dikenakan hukuman penjara di luar negara, dengan separuh daripadanya melibatkan kesalahan berkaitan dadah.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Kamarudin Jaffar berkata jumlah mereka yang terbabit dengan pelbagai kesalahan berkaitan dadah sebanyak 1,434 orang.
“Mereka yang terlibat dalam kes-kes penipuan berjumlah 406 orang, kes kad kredit palsu 132, kesalahan berkaitan kastam 89 dan baki 66 orang merupakan mereka melakukan kesalahan imigresen,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya ketika ditanya mengenai jumlah mereka yang dijatuhi hukuman mati dan penjara sepanjang tahun, tiada statistik diperoleh setakat ini.
Beliau menjawab soalan Richad Riok Jaem (GPS-Serian) berhubung jenis-jenis kesalahan yang dilakukan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di seluruh dunia dan jumlah mereka yang dipenjarakan seumur hidup dan dihukum gantung sampai mati.
Mengenai usaha yang dilakukan oleh Wisma Putra bagi membantu mereka yang dipenjarakan di luar negara, Kamarudin memberitahu perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara akan berperanan untuk menghulurkan bantuan konsulat selaras dengan Konvensyen Vienna mengenai hubungan konsulat 1963.
Katanya, bantuan konsulat termaktub di bawah akta ini yang akan memaklumkan penahanan warganegara kepada pihak keluarga atau waris serta memastikan kebajikan dan keselamatan di samping kesihatan tahanan sentiasa terpelihara.
“Perwakilan Malaysia juga boleh membantu mengemukakan firma guaman tempatan untuk dilantik oleh tahanan atau waris jika diperlukan setelah tahanan selesai menjalani hukuman mereka,” katanya.
Tambahnya urusan proses dokumentasi termasuk mengeluarkan sijil perakuan cemas sekiranya diperlukan sebagai dokumen perjalanan sementara untuk pulang ke Malaysia turut dilakukan perwakilan itu.
“Kerajaan menerusi kementerian luar sentiasa prihatin dengan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara dan sentiasa menghulurkan bantuan sewajarnya,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau berkata perwakilan Malaysia perlu menghormati proses perundangan tempatan dan tidak boleh mencampuri hal ehwal perundangan sesebuah negara.
“Seseorang individu yang ditahan di negara asing perlu bersedia untuk melalui proses perundangan di negara tersebut. Warganegara Malaysia yang berada dan akan mengadakan perjalanan ke luar negara perlu sentiasa berwaspada dan memahami undang-undang negara dilawati bagi mengelakkan daripada terjebak dalam perkara yang tidak diingini.”