Sebanyak 60,583 banduan yang ditahan dipenjara sudah disaring dan daripada jumlah berkenaan, 829 kes dikesan positif Covid-19, sejak 29 Ogos sehingga 8 Disember, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Ismail Mohamed Said.
Katanya, dari 1 Mei sehingga 8 Disember, 1,355 penghuni di Depoh Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia dikesan positif Covid-19.
“Daripada jumlah itu, depoh tahanan Imigresen Bukit Jalil mencatatkan jumlah positif tertinggi iaitu 650 orang diikuti Depoh Tahanan Imigresen Langkap 481 orang, Depoh Tahanan Imigresen Semenyih 127 orang dan Depoh Tahanan Imigresen KLIA berjumlah 77 orang.
“Baki seramai 20 orang direkodkan di Depoh Tahanan Belantik, Putrajaya, Machang, Machap Umboo, Lenggeng dan juga Juru,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) menyatakan bilangan pesakit Covid-19 yang berasal dari penjara serta depoh tahanan imigresen.
Menjawab mengenai langkah diambil kerajaan bagi memastikan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pemantauan saringan di penjara, Ismail memberitahu pihaknya sentiasa melaksanakan langkah tersebut seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, terdapat dua perkara menjadi keutamaan pihaknya bagi kalangan banduan penjara iaitu ketika proses penerimaan dan proses ketika mengeluarkan banduan sama ada bagi mendapatkan rawatan kesihatan atau ke mahkamah yang akan melalui proses selama 14 hari sebelum disatukan bersama banduan lain.
“Contoh di penjara, lima hari kita asingkan di dalam bilik tahanan sementara untuk buat saringan ujian swab dan kalau positif kita akan hantar ke hospital dan kalau negatif, akan dihantar lagi ke satu bilik tahanan selama sembilan hari. Kalau betul-betul dalam tempoh 14 hari ini negatif baru kita asingkan kepada penjara besar bersama banduan lain.
“Ini untuk kita pastikan bahawa semua pegawai dan anggota penjara kita mesti mematuhi syarat-syarat ini dan tentang penjarakan fizikal mesti kita akan pastikan (terjamin).”