- Iklan -
Berita

Bung Moktar tawar diri jadi orang pertama disuntik vaksin Covid-19

Ahli Parlimen Kinabatangan sahut cabaran ahli politik bersihkan keraguan dalam kalangan masyarakat mengenai keberkesanan vaksin.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin menawarkan diri untuk menjadi orang pertama di Malaysia disuntik vaksin Covid-19 bagi menghilangkan keraguan orang ramai.

“Saya menawarkan diri sebagai orang pertama untuk diuji vaksin ini kalau ada.

Saya tidak takut sebab saya mahu sihat. Panglima perang kena cuba dulu,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Bung berkata demikian sebagai reaksi terhadap Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) yang menceritakan pengalaman pertamanya ketika dia dijangkiti virus itu.

Wong dimasukkan ke Hospital Sibu pada Mac lalu dan mengalami koma lebih sebulan.

Wong yang hari ini memperincikan kelemahan dalam rawatan pesakit Covid-19, bertanya apakah pihak kesihatan bersedia menguruskan pembahagian vaksin termasuk masalah logistik vaksin Pfizer yang perlu disimpan dalam suhu -71 darjah Celsius.

Beliau juga bertanya adakah ujian bagi mengenai kesan sampingan vaksin sudah dilakukan dan kemudahan kesihatan awam yang sesuai di kawasan luar bandar seperti daerahnya Sarikei.

Malah beliau turut ragu dengan kredibiliti ketika doktor di klinik kesihatan Sarikei memberitahunya dia hanya mengalami gejala demam yang biasa.

Malah seminggu kemudian, dia turut berjumpa dengan doktor pakar di hospital swasta dan masih dimaklumkan hanya mengalami demam biasa.

Kemudian Wong pergi semula ke Hospital Sarikei untuk ujian Covid-19, tetapi dia diberitahu hospital itu tidak mempunyai kemudahan ujian itu.

Katanya desakannya untuk melakukan ujian Covid-19 ditolak, termasuk di Hospital Sibu, di mana dia diberitahu tidak berhubung dengan mana-mana pesakit Covid-19.

“Pada malam ketika saya dimasukkan ke Rumah Sakit Sibu, saya berada dalam keadaan koma. Bayangkan, jika saya tidak mendesak ujian Covid-19, saya pasti akan mati, kerana mereka terus memberitahu saya hanya mengalami demam biasa.”

Tambahnya hospital kerajaan di Sarawak berada dalam keadaan pelik kenapa Hospital Kuching menolak untuk melakukan ujian ke atas isterinya setelah dia diuji positif Covid-19.

“Anak saya Jackie Wong, yang juga atlet kebangsaan, juga menjalani ujian Covid-19. Dia pada awalnya diuji positif, tetapi kemudian diuji negatif,” katanya.

Bagaimanapun anaknya perlu menjalani kuarantin selama 73 hari sebelum dia dibenarkan pulang.

“Saya merasakan saya dan ahli keluarga saya dijadikan bahan kajian ketika kami disahkan positif Covid-19.

“Sekiranya kita sudah memiliki vaksin, siapa lagi yang akan jadi bahan ujian. Semua orang mahu vaksin ini diuji terlebih dahulu pada ahli politik dan pemimpin sebelum diberikan kepada rakyat. Apakah kita sudah bersedia?” tanya Wong.

Dua perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan akan memastikan berjuta-juta rakyat Malaysia diberi vaksin virus Covid-19.

Perjanjian dengan syarikat gergasi farmaseutikal Pfizer dijangka merangkumi bekalan vaksin untuk 6.4 juta rakyat Malaysia, atau 20% penduduk.

Manakala vaksin lain, di bawah kerjasama Covax untuk memerangi Covid-19, akan memanfaatkan untuk 3.2 juta rakyat Malaysia, atau 10% penduduk.

Sehubungan itu dengan gabungan dua vaksin ini yang dijangka tiba di Malaysia pada suku pertama tahun depan, akan merangkumi keperluan 9.6 juta rakyat Malaysia.