- Iklan -
Berita

Krisis politik di Perak selesai, kata Faizal Azumu

Keputusan dibuat selepas pertemuan melibatkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu.
Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, memberitahu Dewan Rakyat krisis politik di negeri itu sudah selesai dan kesepakatan dicapai antara parti Perikatan Nasional (PN), PAS, Bersatu, dan Umno.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata pertemuan enam mata melibatkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Parlimen hari ini berjaya mencapai kepada satu penyelesaian yang aman dan damai.

“Setelah dirujuk oleh YB Bagan Datuk (Zahid) dan juga YB Marang (Hadi) saya mendapat tahu masalah di Perak sudah selesai,” katanya, disambut sorakan di Dewan Rakyat.

Faizal mengumumkan perkembangan itu ketika diapit Zahid dan Hadi di kiri, kanan beliau.

Timbalan presiden Bersatu itu menarik perhatian Dewan Rakyat berkenaan krisis di Perak sebelum membahaskan isu Penggerak Komuniti Tempatan RM8.6 juta dalam peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mahu dipotong seperti yang diusulkan oleh blok pembangkang.

Difahamkan pertemuan tiga ketua parti itu membincangkan situasi politik di Perak termasuk pelantikan menteri besar baru daripada Umno.

Pada Isnin, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan kerajaan PN Perak melibatkan Adun daripada Umno, PAS dan Bersatu perlu terus dipertahankan.

Mesyuarat parti itu juga bersetuju sebulat suara untuk mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai MB Perak yang baru bagi menggantikan Faizal.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.