- Iklan -
Berita

Sultan Nazrin: Jangan jadikan rakyat kancil mati tersepit kerana gajah beradu

Pelantikan menteri besar Perak sebanyak tiga kali bukanlah satu sejarah yang perlu dibanggakan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika hadir pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, hari ini. Gambar: Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika hadir pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, hari ini. Gambar: Bernama

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memberi amaran pelantikan menteri besar Perak sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mencerminkan kegagalan kepimpinan ahli-ahli politik untuk mendapat jaminan sokongan padu.

Menurutnya, peristiwa ini bukanlah satu sejarah yang perlu dibanggakan.

“Sejak berlangsungnya PRU14, sudah tiga kali istiadat pelantikan menteri besar dilakukan, perkara yang mencatatkan sejarah baru yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” kata Sultan Perak itu pada Majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, rakyat meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.

Katanya, rakyat pelbagai kaum dalam semua kawasan diwakili Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mahukan sebuah negeri aman, dengan pemerintahan melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, supaya mereka dapat hidup dalam semangat saling menghormati serta harmoni.

“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.

“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud.”

Sultan Nazrin menambah, sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta, sehingga lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, sebaliknya menjelma sifat sombong dan bongkak.

“Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin.

“Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan.”

Sultan Nazrin turut mendedahkan pelbagai pihak daripada kalangan pakar perundangan, pegawai kerajaan, orang perseorangan serta pemimpin PN dan PH mengadapnya bagi menyampaikan cadangan, pendapat dan saranan masing-masing.

“Kesemua mereka mempunyai niat dan tujuan yang murni mahu membantu supaya kemelut yang berlaku dapat ditangani. Kepada kesemua mereka beta menzahirkan penghargaan tinggi.”

Sultan Nazrin juga menghargai peranan petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta, di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan, untuk melaksanakan tugas melaporkan dan menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat.

“Demikian juga kepada anggota polis yang membantu mengawal keadaan membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.