- Iklan -
Berita

Kerajaan kaji kesesuaian laksana semula GST

Aspek kelemahan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada akan diteliti.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
GST yang diperkenalkan ketika pentadbiran Najib Razak pada April 2015. Gambar: AFP
GST yang diperkenalkan ketika pentadbiran Najib Razak pada April 2015. Gambar: AFP

Kerajaan sedang mengkaji kesesuaian bagi melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau apa-apa model cukai kepenggunaan dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum sebarang keputusan dibuat kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata aspek kelemahan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada serta sistem GST yang dilaksanakan pada 2015 turut diteliti.

Katanya, kajian juga akan meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai terhadap harga barang dan keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap.

“Sebarang cukai baru jika ada, perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

“Berhubung dengan cukai kekayaan, kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk melaksanakannya pada masa ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kajian juga akan meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai terhadap harga barang dan keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan, Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada kerajaan akan melaksanakan semula cukai GST dan cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan.

Shahar berkata, pasukan khas yang ditubuhkan akan melaksanakan kajian terperinci bagi memastikan cukai baru itu tidak memberi bebanan kepada rakyat.

“Kita juga mesti melihat bagaimana kaedah-kaedah lain seperti yang dibentang menteri kewangan ketika Belanjawan 2021, kita memantapkan pematuhan percukaian, kita memperkasakan lagi agensi Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) kerana apa kalau kita mewujudkan cukai baru dan hanya meningkatkan hasil tetapi membebankan rakyat, ia tidak akan memberi kesan.

“Dan saya yakin Yang Berhormat juga setuju dengan saya kita mesti bersama-sama untuk memastikan pemulihan ekonomi ini akan berasaskan melalui kelulusan Belanjawan 2021 sehingga peringkat jawatankuasa kerana inilah langkah kelima sebelum kita lancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada bulan Januari 2021.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi