- Iklan -
Berita

Maghribi negara Arab keempat pulihkan hubungan dengan Israel

Maghribi menjadi negara Arab keempat tahun ini yang menormalkan hubungan dengan Israel apabila Presiden Donald Trump memenuhi hasrat Maghribi selama puluhan tahun dengan menyokong kedaulatannya yang dipertikaikan di Sahara Barat. Dengan hanya berbaki sebulan dalam jawatannya, Trump yang juga penyokong kuat Israel, menulis ciapan di Twitternya bahawa Maghribi dan negara Zionis itu bersetuju untuk menjalin […]

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar bendera Israel dan Maghribi. Gambar: AFP
Gambar bendera Israel dan Maghribi. Gambar: AFP

Maghribi menjadi negara Arab keempat tahun ini yang menormalkan hubungan dengan Israel apabila Presiden Donald Trump memenuhi hasrat Maghribi selama puluhan tahun dengan menyokong kedaulatannya yang dipertikaikan di Sahara Barat.

Dengan hanya berbaki sebulan dalam jawatannya, Trump yang juga penyokong kuat Israel, menulis ciapan di Twitternya bahawa Maghribi dan negara Zionis itu bersetuju untuk menjalin hubungan sebagai suatu “kejayaan besar untuk perdamaian di Asia Barat”.

Malah, Rumah Putih menyatakan Trump turut “mengiktiraf kedaulatan Maghribi di seluruh wilayah Sahara Barat”, menimbulkan kemarahan gerakan pemberontak pembebasan nasional, Front Polisario yang disokong Algeria yang menguasai kira-kira satu perlima wilayah yang luas dan itu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, berkata Maghribi dan Israel akan membuka semula pejabat perhubungan di Tel Aviv dan Rabat yang ditutup pada 2000 berikutan pemberontakan kedua Palestin dan menjalinkan hubungan diplomatik sepenuhnya.

Malah, Maghribi secara diam-diam juga membiarkan pelancong Israel masuk ke negaranya dalam beberapa tahun kebelakangan dan akan membenarkan penerbangan langsung dengan Israel.

“Saya selalu percaya bahawa hari bersejarah ini akan datang,” katanya.

Sementara itu, kenyataan dari istana menyatakan, Raja Mohammed VI dalam panggilan telefon dengan Trump bersetuju untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel dengan sedikit penundaan.

Seorang pegawai kanan kementerian luar negeri Maghribi, dalam taklimat di Rabat, menyifatkan tindakan itu bukan sebagai pengiktirafan Israel tetapi sebagai “normalisasi” yang memulihkan hubungan masa lalu.

Trump berjaya menyatukan Israel dan negara Arab sejak September lalu, antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan dalam apa yang disebut oleh pentadbiran Trump sebagai Perjanjian Abraham.

Hubungan normalisasi itu dilihat menghancurkan solidariti Arab di sebalik perjuangan rakyat Palestin.

Begitupun, pihak istana menyatakan, Raja Mohammed VI melalui panggilan telefon dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas bahawa beliau tidak akan melepaskan tanggungjawabnya dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.

Jurucakap kumpulan Islam Hamas yang menguasai Gaza, Hazem Qassem, mengecam tindakan Maghribi sebagai “dosa politik” yang akan mendorong penjajahan Israel.