Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mencadangkan diwujudkan satu gagasan besar menggabungkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menjulang wawasan dan aspirasi diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya.
“Oleh itu, satu piagam persefahaman politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan.
“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan,” kata Hamzah yang juga menteri dalam negeri dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebagai sebuah gagasan yang inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing.
“Dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia.
“Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara yang lebih baik, insya-Allah tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia.”
Hamzah berkata, PN ditubuhkan atas persefahaman yang termeterai antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada akhir Februari.
Katanya, penubuhan kerajaan baru PN itu disokong sepenuhnya Presiden PBB merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Abang Johari Openg, Presiden Star Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS Maximus Ongkili.
Menurut Hamzah, semua ketua-ketua parti tersebut sebulat suara bersetuju untuk memperakukan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri yang baru dan kesepakatan tersebut diperkenan Yang di-Pertuan Agong.