- Iklan -
Berita

Jawatankuasa khas ditubuh pantau kualiti program 2u2i, kata menteri

Sebanyak 83 program akademik mod 2u2i diluluskan di peringkat Jabatan Pendidikan Tinggi untuk ditawarkan di universiti awam di seluruh negara.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Program 2u2i merupakan usaha mempersiapkan mahasiswa menempuh alam pekerjaan setelah tamat pengajian. Gambar: Bernama
Program 2u2i merupakan usaha mempersiapkan mahasiswa menempuh alam pekerjaan setelah tamat pengajian. Gambar: Bernama

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menubuhkan Jawatakuasa Strategik Mod Industri yang bertanggungjawab bagi memantapkan lagi kualiti Program Dua Tahun Universiti dan Dua Tahun Industri (2u2i) merupakan usaha mempersiapkan mahasiswa menempuh alam pekerjaan setelah tamat pengajian.

Menterinya, Noraini Ahmad berkata selain sebagai usaha bagi menambah baik pelaksanaan program, jawatankuasa itu mampu menjadi platform dan rujukan utama dalam memperkasakan pembelajaraan berasaskan pekerjaan.

Menurut beliau, pelbagai usaha dan insentif yang dilaksanakan KPT dan setakat ini 83 program akademik mod 2u2i diluluskan pada peringkat Jabatan Pendidikan Tinggi untuk ditawarkan di universiti-universiti awam di seluruh negara.

“Antara strategi dalam memantapkan lagi program 2u2i yang pertama menyerap cloud computing dan science data ke dalam kokurikulum akademik bagi menyokong transisi IR 4.0. Kedua adalah menjadikan program berasaskan kemahiran dan TVET sebagai satu program yang ditawarkan.

“Ketiga memberikan tumpuan untuk menawarkan program 2u2i dengan lebih agresif kepada semua institusi pendidikan tinggi serta pihak industri yang penting bagi mendapatkan pihak industri supaya program ini dapat dilaksanakan dengan luas.

“Dan yang keempat melaksanakan sesi libat urus bersama wakil-wakil industri dari pelbagai sektor bagi mendapatkan maklumat berhubung keberkesanan program 2u2i,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya input menerusi itu akan dapat digunakan bagi menambah baik kokurikulum berdasarkan pekerjaan yang dibangunkan supaya memenuhi keperluan industri.

“Kelima, mengadakan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman oleh IPT yang telah melaksanakan program 2u2i dengan IPT lain di samping menyebar luaskan hebahan untuk menggalakkan lagi penglibatan mahasiswa ke dalam program ini,” katanya.

Noraini menjawab soalan Idris Jusoh (BN-Besut) tentang langkah pihak kementerian dalam memantapkan lagi pelaksanaan Program 2u2i bagi mempersiapkan graduan ke pasaran pekerjaan.

Tambah Noraini antara langkah dilaksanakan kementerian bagi mengatasi isu graduan menghadapi cabaran pasaran semasa.

katanya terdapat dua aspek utama yang dilaksanakan menerusi program itu yang mampu menjadi platform bagi mengasah kemahiran praktikal serta insaniah pelajar semasa tempoh pengajian.

Menurut beliau, aspek pertama akan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai alam sebenar pekerjaan kerana para pelajar akan dilatih oleh pakar industri dalam bidang pekerjaan yang mereka fokus.

“Kedua, kita di KPT mahukan pelajar ini diterapkan nilai-nilai usahawan di mana para pelajar secara kumpulan diberi tugasan khusus dalam merancang, menyelia, menjalankan projek usahawan dengan pemantauan penyelia.

“Diharap tugasan secara praktikal ini dapat memupuk kemahiran usahawan di kalangan pelajar yang akan melahirkan pelajar yang kreatif, berani menghadapi tekanan, bijak mengurus dan mampu mencipta peluang pekerjaan lain dengan menjadi pencari pekerja (job creator) kepada lebih ramai graduan apabila bergelar graduan nanti.”

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.