Pemerintah Amerika Syarikat (AS) pada Ahad mengesahkan rangkaian komputernya diserang serangan siber, dan The Washington Post melaporkan sekurang-kurangnya dua jabatan termasuk Perbendaharaan menjadi sasaran penggodam Rusia.
“Kami bekerjasama rapat dengan rakan agensi selepas menemui aktiviti serangan itu di dalam rangkaian pemerintah,” kata jurucakap Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (Cisa) kepada AFP.
“Cisa sedang memberikan bantuan teknikal kepada jabatan-jabatan terjejas dan dalam masa sama mereka berusaha untuk mengenal pasti serta mengurangkan impak serangan.”
The Post melaporkan penggodam tersebut ada kaitan dengan serangan yang berlaku pada minggu lepas terhadap sebuah firma siber sekuriti FireEye, yang mengatakan pertahanan milik mereka berjaya ditembusi oleh penggodam dengan bertindak mencuri perisian yang digunakan untuk menguji sistem komputer pelanggan.
FireEye mengatakan penggodam itu disyaki ditaja negara tertentu.
Media AS melaporkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menjalankan siasatan ke atas sekumpulan pekerja yang ada kaitan dengan perkhidmatan risikan asing Rusia, SVR, selepas berbulan-bulan berlaku.
Kumpulan yang sama turut dilaporkan menggodam agensi pemerintah AS ketika era pentadbiran Obama.
“Pemerintah AS sedar mengenai laporan ini dan kami sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian berkaitan isu ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan John Ullyot.