Presiden Donald Trump mungkin dalam proses meninggalkan pejabat paling berpengaruh di dunia, namun pemerintahannya dalam masa singkat di Rumah Putih memberikan kesan terhadap kumpulan berhaluan kanan di seluruh dunia, kata satu perbincangan tentang era selepas presiden Amerika Syarikat (AS) itu baru-baru ini.
Rashila Ramli dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, era pentadbiran Trump mendorong kumpulan berhaluan kanan dan mereka yang mahukan naungan meluas menggunakan sentimen nasionalis.
Katanya, Malaysia juga menerima kesan daripada nasionalisme acuan Trump.
“Sama ada kita tahu kumpulan tersebut wujud dalam masyarakat kita. Kita perlu berjaga-jaga tentang hal ini kerana ia sangat merbahaya,” kata Rashila dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, UKM semasa dialog dianjurkan Islamic Renaissance Front (IRF) yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pengkritik sosial Chandra Muzaffar berkata nasionalisme berhaluan kanan sudah lama wujud di Barat sebelum era pentadbiran Trump.
“Jadi, kita tidak boleh tunding jari sepenuhnya kepada Trump,” katanya.
“Sebagai contoh, tanggapan negatif terhadap pihak lain – imigran, Yahudi dan orang Islam sedikit sebanyak adalah sebahagian daripada jiwa orang Eropah.”
Trump yang merupakan seorang jutawan terkemuka menang dalam pilihan raya presiden 2016 menggunakan slogan “Dahulukan Amerika” dan berikrar akan mengutamakan tenaga kerja dan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.
Pentadbiran Trump juga mengamalkan polisi imigresen yang amat keras.
Bagaimanapun, pengkritik sosial Chandra Muzaffar berkata nasionalisme berhaluan kanan sudah lama wujud di Barat sebelum era pentadbiran Trump.
Akan tetapi, Chandra mengingatkan supaya tidak menyamakan haluan kanan dengan nasionalisme dalam satu kategori, dan menambah adalah menjadi kebiasaan bagi sesuatu negara bangsa untuk mempertahankan kepentingan mereka.
“Saya tidak melihat ini sebagai berhaluan kanan, berfikiran sempit atau pentaksub. Mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk melindungi kepentingan sendiri. Tetapi, jenis kepentingan yang dilindungi itu yang menjadi isu.
“Adakah kepentingan orang miskin dan mereka yang terpinggir? Jika ya, itu patut dipuji,” tambahnya.
Bagaimanapun, Chandra bersetuju bahawa kebangkitan Trump menaikkan semangat sebahagian besar kumpulan berhaluan kanan di negara-negara lain.
Sementara bekas duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Gholam Ali Khosroo berkata, Trump berpengaruh dalam kebangkitan nasionalisme di Barat dan trend itu dilihat akan berterusan di AS dan Eropah.
Khosroo, yang negaranya menjadi sasaran polisi keras Trump di Timur Tengah juga tidak mengharapkan sebarang perubahan besar selepas Joe Biden mengambil alih jawatan tersebut.
Chandra bersetuju dan mengatakan: “Meskipun kita tidak lagi berdepan dengan ketidaktentuan rejim Trump, AS tetap akan meneruskan dominasi globalnya di bawah pemerintahan Biden.”
Tambahnya, walaupun Washington mungkin kembali kepada perjanjian multilateral yang tidak dipedulikan Trump seperti Perjanjian Paris, mereka akan terus mempertahankan penguasaannya dalam hal ehwal antarabangsa.
Selepas menjadi presiden, Trump mengumumkan AS menarik diri daripada Perjanjian Paris – perjanjian antarabangsa yang berusaha mengurangkan pemanasan global, dan mengumumkan AS tidak lagi menyokong perjanjian nuklear bersejarah Iran yang ditandatangani Presiden Barack Obama.
Tetapi perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTP) yang menjadi korban pertama di bawah pentadbiran Trump, ketika beliau menandatangani perintah eksekutif mengeluarkan AS daripada perjanjian perdagangan antarabangsa itu pada hari pertamanya di pejabat.
TPP adalah perjanjian perdagangan melibatkan 12 negara termasuk Malaysia, yang bertujuan untuk menghapuskan sekatan perdagangan dan tarif antara negara-negara anggota.
Susulan kegagalan TPP, negara-negara anggota mengadakan rundingan baru dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Rashila berkata sama ada pentadbiran Biden akan kembali semula menyertai perjanjian itu bergantung kepada politik domestik negara berkenaan.
Sementara itu, Chandra berkata AS boleh mencontohi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau Asean, dalam menangani masalah kedaulatan dan kepentingan nasional.